Ka Siong mohon masa teliti dokumen

Temubual eksklusif Wee Ka Siong bersama Sinar Harian di pejabatnya semalam. - Foto ROSLI TALIB
Temubual eksklusif Wee Ka Siong bersama Sinar Harian di pejabatnya semalam. - Foto ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong meminta semua waris penumpang dan kru pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan ke Beijing, China enam tahun lalu memberi masa kepada beliau untuk meneliti setiap dokumen dan usaha yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Ka Siong bagaimanapun berkata, beliau tidak mahu memberi jaminan (pencarian semula) kerana beliau perlu melihat semula latar belakang pencarian yang dijalankan oleh syarikat penerokaan dasar laut Amerika Syarikat, Ocean Infinity.

“Kita maklum kehendak waris. Beri saya sedikit masa menemui semua pegawai yang berkaitan.

“Tadi (semalam) saya juga telah meminta pegawai memberi laporan kepada saya apakah yang telah dilakukan setakat ini dan hasil daripada pencarian bangkai pesawat di selatan Lautan Hindi,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di sini semalam.

Pada 8 Mac 2014, pesawat yang membawa seramai 227 penumpang dan 12 kru itu hilang daripada radar ketika dalam penerbangan dari KLIA ke Beijing.

Ahad lalu, pada upacara memperingati MH370, waris penumpang dan kru penerbangan merayu kerajaan menyambung semula pencarian tersebut.

Pada 29 Mei 2018, Ocean Infinity mengesahkan syarikat itu telah menamatkan pencarian dan mengumpul data di kawasan membabitkan lebih 112,000 kilometer persegi.

Pada 30 November 2018, lima serpihan pesawat dipercayai milik MH370 yang dijumpai di perairan Madagascar diserahkan kepada Menteri Pengangkutan ketika itu, Anthony Loke.

Artikel Berkaitan: