Bloodshot Aksi Vin Diesel jadi tumpuan

Bloodshot
Bloodshot
A
A
A

SONY Pictures Entertainment kembali dengan filem aksi terbaharunya, Bloodshot yang juga merupakan sebuah naskhah adaptasi daripada komik popular dengan judul yang sama.

Meski pengaruhnya tidak popular sebagaimana siri komik Marvel, namun filem arahan Dave Wilson itu tampil dengan beberapa kejutan, sekali gus berjaya memperkenalkan superhero baharu ini kepada umum.

Bloodshot mengisahkan tentang seorang askar Marin, Ray Garrison mendapati dirinya mempunyai kuasa luar biasa setelah dihidupkan semula oleh pasukan saintis rahsia, RST, selepas mati terbunuh bersama isterinya.

Menerusi kecanggihan nanoteknologi di dalam uratnya, Ray menjadi mesin pembunuh biotek dengan gelaran Bloodshot dan mampu pulih segera daripada sebarang kecederaan.

Ray tidak dapat mengingat masa lampaunya tetapi apabila memorinya kembali, dia cuba memburu orang yang membunuhnya. Bagaimanapun, Ray akhirnya dapat menghidu konspirasi di sebalik apa yang berlaku ke atas dirinya.

Filem yang menampilkan aktor Vin Diesel itu mempunyai plot cerita menarik yang dilengkapkan dengan elemen-elemen kejutan tidak disangka penonton.

Jangkaan yang dibuat berdasarkan beberapa babak awal yang ditampilkan sebagai latar belakang teraju utama, berlaku sebaliknya pada pertengahan cerita dan sekali gus memberi penjelasan berbeza pada pengakhiran cerita.

Bagi peminat filem aksi, Bloodshot semestinya menghiburkan dengan deretan aksi mengisi penceritaan sama ada melibatkan karakter utama, mahupun karakter-karakter sokongan lain.

Artikel Berkaitan:

Malah paparan kota Kuala Lumpur menerusi bangunan ikonik Menara Berkembar KLCC dan Menara Kuala Lumpur dalam filem aksi Hollywood itu ternyata mencuri perhatian penonton Malaysia.

Bagaimanapun, di sebalik keghairahan Wilson mencari pengaruh untuk naskhah tersebut, terdapat beberapa kelemahan yang ternyata mengganggu tumpuan tontonan.

Tidak dinafikan filem itu sarat dengan aksi, namun sebahagian daripadanya kurang memberikan impak kepada keseluruhan jalan cerita. Terdapat babak yang kurang meyakinkan termasuklah klimak pertembungan antara watak utama dengan antagonisnya.

Kesan khas visual yang ditampilkan tidak konsisten, malah lemah pada beberapa bahagian menjadikan ia sebagai aksi yang kurang memberikan impak kepada tontonan. Malah pada satu-satu ketika terlihat seperti sebuah animasi yang berusaha keras untuk tampak hebat.

Bagaimanapun, kekurangan itu tidak sampai menjadikan filem ini sebagai naskhah yang lemah, sebaliknya masih berbaloi untuk ditonton.

Pembaca Sinar Harian menjadi antara yang terawal menonton filem itu menerusi Tayangan Eksklusif Wayang HibSinar: Bloodshot yang diadakan di MBO Tropicana Gardens Mall pada 11 Mac lalu.

Jangan ketinggalan untuk menonton filem lakonan Vin Diesel itu kini sedang hangat ditayangkan di pawagam Malaysia.