Anggota sukarela dipukul gara-gara tegur parkir halang lalu lintas

Kesan lebam pada leher mangsa.
Kesan lebam pada leher mangsa.
A
A
A

AMPANG - Seorang anggota sukarela Jawatankuasa Penduduk Zon 22 cedera dipercayai dipukul seorang warga emas di Jalan Bunga Mawar, Pasar Pagi Taman Muda, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff berkata, kejadian itu dipercayai berpunca daripada teguran mangsa berusia 41 tahun terhadap kereta milik warga emas itu yang diparkir mengakibatkan gangguan lalu lintas di kawasan itu.

"Lelaki itu mendapat aduan daripada seorang pemandu bas berkenaan kenderaan yang diletakkan di tepi jalan berhampiran pasar pagi itu, pada jam 6.58 pagi," katanya.

Noor Azmi berkata, mangsa kemudian mencari pemilik kenderaan jenis Proton Saga itu.

"Setelah berjumpa dengan pemilik kenderaan tersebut iaitu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 70 tahun, mangsa telah menasihat lelaki itu supaya mengalih keretanya kerana mengganggu lalu lintas," katanya.

Menurutnya, suspek yang merupakan tukang masak tidak berpuas hati dengan teguran mangsa, lalu menumbuk, mencekik dan mencakar lehernya.

"Mangsa mengalami lebam dan sakit pada bahagian leher akibat daripada kejadian ini dan telah menerima rawatan di Hospital Ampang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan: