X

Kindly register in order to view this article
!

Dulu mufti disegani, kini bergelar menteri

A
A

SEBAIK Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selesai mengumumkan barisan Kabinet yang agak 'mengejutkan' Selasa lalu, beberapa nama baru yang menghiasi barisan tersebut pantas mencuri perhatian rakyat Malaysia.

Sebanyak 70 nama diumumkan sebagai menteri dan timbalan menteri, ada nama lama dan ramai juga nama baharu, namun dalam semua nama tersebut, nama bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri paling mencuri tumpuan.

Disenangi ramai, rajin mencoret nasihat keagamaan berkaitan isu semasa di media sosialnya membuatkan ramai menyayangi agamawan kelahiran Terengganu itu. Tegas namun dalam ketegasan, ada kelembutannya. Begitulah bentuk nasihat beliau.

Nama beliau akan kekal tercatit dalam sejarah negara sebagai mufti pertama dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan hari ini, beliau selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Enam Senator (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara.- Foto Bernama
Enam Senator (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara.- Foto Bernama

Tatkala nama beliau diumumkan sebagai menteri, ramai terkejut, bukan terkejut kerana kecewa tetapi gembira. Warganet yang ternyata gembira dengan pelantikan beliau pantas menyerang media sosialnya, beribu-ribu ucapan tahniah menerjah ruangan komennya.

Mengikut resmi padi, makin berisi makin tunduk, tidak sedikit pun Tokoh Maulidur Rasul 2012 Peringkat Wilayah Persekutuan itu berbangga diri dengan jawatan tersebut.

Bahkan dalam status pertama dimuat naiknya di laman sosial beliau selepas pengumuman tersebut, Zulkifli berkata: "Saya dengan rendah hati memohon jasa baik sahabat semua untuk berterusan mendoakan saya agar saya dikurniakan ALLAH SWT kekuatan untuk memikul amanah dan kepercayaan ini sepenuh keupayaan saya."

Dalam status sama, beliau juga berkata: "Doakan saya, bantu saya dan berilah pandangan kepada saya. Kita teruskan legasi pemimpin terdahulu, membina negara Malaysia yang berbilang kaum dan agama, dalam keredhaan-Nya."

Berdasarkan tinjauan dalam media sosial, ramai rakyat Malaysia bersetuju dengan keputusan melantik Zulkifli sebagai Menteri Agama. Bayangkan, status dimuat naik beliau sejurus pengumuman disukai lebih 72,000 warganet.

Komennya pula (setakat artikel ini ditulis) mencecah 6,000 komen manakala lebih 13,000 berkongsi status tersebut. Seandainya angka itu dijadikan ukuran, nampaknya rakyat benar-benar gembira dengan pelantikan beliau.

Disenangi ramai, rajin mencoret nasihat keagamaan berkaitan isu semasa di media sosialnya membuatkan ramai menyayangi agamawan kelahiran Terengganu itu.
Disenangi ramai, rajin mencoret nasihat keagamaan berkaitan isu semasa di media sosialnya membuatkan ramai menyayangi agamawan kelahiran Terengganu itu.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor turut merakamkan ucapan tahniah kepada Zulkifli dan beliau yakin dengan kemampuannya menggalas amanah sebagai menteri yang bertanggungjawab dalam urusan agama Islam.

“Saya mendoakan beliau dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk melaksanakan amanah ini. Zulkifli memang berilmu dan berperibadi mulia.

“Semoga jawatan baharu beliau selaku menteri yang bertanggungjawab mengenai hal ehwal agama Islam, akan membuka ruang yang lebih luas bagi beliau memainkan peranan lebih berkesan dalam memartabatkan kedudukan agama Islam di negara ini.

“Diharap beliau akan meneruskan agenda Islam sebagai agama yang adil dan rahmat yang telah digagaskan sebelum ini demi faedah semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Bahkan, bekas menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof juga tidak ketinggalan merakamkan ucapan tahniah kepada Zulkifli menerusi satu ciapan dalam laman Twitter rasmi beliau.

“Tahniah Mufti Wilayah, saya yakin beliau akan pertahankan dasar Rahmatan Lil Alamin kerana sepanjang usaha ini digerakkan bawah PH (Pakatan Harapan) beliau tahu hati budi saya di sebalik fitnah yang tersebar. Bertaqwalah dengan jawatan anda!” tulisnya.

Mula dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada 2014, Zulkifli menjadi pakar rujuk dalam pelbagai isu agama dan beliau turut menghasilkan beberapa penulisan buku keagamaan seperti Bayan Linnas, Irsyad Fatwa dan Irsyad Usul Fiqh.

Kelantangannya mencoret nasihat-nasihat agama berkaitan isu semasa membuatkan rakyat semakin menyayanginya. Beliau dianggap seorang agamawan yang menegur tanpa sebarang prejudis, hanya mahu menegakkan hukum dan syiar Islam.

Enam Senator (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara.- Foto Bernama
Enam Senator (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah Ahli Dewan Negara.- Foto Bernama

Teguran terbarunya yang hangat diperkatakan tentunya melibatkan usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman. Usahawan itu mencetuskan kemarahan rakyat apabila mengenakan pakaian wanita ketika menunaikan umrah baru-baru ini.

Kemuncak kemarahan warganet kepadanya adalah apabila dia berpakaian wanita ketika menunaikan Umrah. Sebagai agamawan yang menjaga kesucian Islam, Zulkifli pantas menegur usahawan kontroversi itu.

Jika disingkap satu-persatu, banyak sebenarnya teguran disuarakan beliau. Nasihatnya tidak menjurus kepada usahawan atau artis semata-mata, ahli politik hatta rakyat biasa sekalipun pernah dinasihatinya. Kerana itulah, beliau sangat dihormati.

Menggalas jawatan sebagai menteri, sudah pasti dunia baru, cabaran baru menanti Zulkifli. Kalau ditanya harapan rakyat, sudah pasti tinggi menggunung harapan ‘dihempapkan’ ke bahu beliau.

Semoga Sahibus Samahah Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dikurniakan kekuatan, kesihatan dan kesabaran memimpin kementeriannya kelak sekaligus mengangkat syiar Islam di Malaysia.

Rakyat mendoakanmu ustaz.

INFO:

Nama: Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Tarikh lahir: 16/01/1969 (51 tahun)

Isteri: Datin Seri Dr Shereen Mohd Yunos

Anak: Lima orang

Pendidikan:

1989: Sarjana Muda Syariah, Kulliyah Al-Syariah, Universiti Islam Madinah

1994: Diploma Syariah, Universiti Ilmu-Ilmu Islam dan Arab, Syria

1995: Sarjana Syariah, Universiti Ilmu-Ilmu Islam dan Arab, Jami’ Al-Sadat, Damsyik, Syria

2002: Doktor Falsafah (PhD), Pengkhususan Fatwa, Universiti Sains Malaysia

Kerjaya:

1997- 2006: Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Port Dickson

2000-2010: Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan

2002: Pakar Rujuk Mustolah Hadith dan Hadith

2005-2014: Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu

2007: Panel Penilai Agensi Kelayakan Malaysia

2008: Pengerusi Penyediaan Modul Asas Pengurusan Fatwa

2008: Ahli Jawatankuasa Majlis Perancang Kewangan Malaysia

2008: Panel Penyelidik Pusat Zakat Negeri Sembilan

2009-2016: Panel Syariah Bank Muamalat Malaysia

2014-2020: Mufti Wilayah Persekutuan

2014-kini: Pengerusi Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan

2014-kini: Pengerusi, Jawatankuasa Penemuduga Tauliah Mengajar dan Ceramah Agama Wilayah Persekutuan

2014-kini: Pengerusi Jawatankuasa Taqwim dan Melihat Anak Bulan

2014-kini: Ahli Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa bagi Kewangan Islam

2016-kini: Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia

2018-kini: Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji

10 Mac 2020: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)

Anugerah:

2012: Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan

2014: Anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!