Jumlah kes positif Covid-19 di Singapura cecah 200

 Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 13 lagi kes positif jangkitan koronavirus (Covid-19) dengan sembilan daripadanya ialah kes dari luar. Gambar hiasan.
Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 13 lagi kes positif jangkitan koronavirus (Covid-19) dengan sembilan daripadanya ialah kes dari luar. Gambar hiasan.
A
A
A

SINGAPURA- Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) mengesahkan 13 lagi kes positif jangkitan koronavirus (Covid-19) dengan sembilan daripadanya ialah kes dari luar.

Peningkatan kes baharu itu menjadikan jumlah kes positif penyakit itu di Singapura kepada 200.

Daripada sembilan kes dari luar, dua daripada mereka mempunyai kaitan dengan perhimpunan keagamaan di sebuah masjid di Malaysia, masing-masing lelaki rakyat Singapura berusia 30 dan 37 tahun dan kini dimasukkan ke bilik isolasi di Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Mereka disahkan dijangkiti Covid-19 pagi tadi, kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Satu lagi kes dari luar melibatkan seorang lelaki Malaysia berusia 26 tahun yang telah melawat Jerman, Republik Czech, Austria dan Hungary antara 1 hingga 10 Mac lepas.

Pemegang Pas Kerja Singapura itu juga disahkan dijangkiti Covid-19 pagi tadi dan kini ditempatkan dalam bilik isolasi di NCID.

Menurut MOH, satu lagi kes jangkitan Covid-19 sudah dibenarkan keluar hospital, menjadikan angka mereka yang pulih sepenuhnya kepada 97.

Daripada 103 kes disahkan yang masih berada di hospital, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau beransur pulih sementara 11 lagi dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Artikel Berkaitan:

Setakat tengah hari tadi, MOH mengenal pasti 4,910 kontak rapat dikuarantin.- Bernama