X

Kindly register in order to view this article
!

Rumah siap, pahat masih berbunyi

A
A

ADA bidalan Melayu menyebut, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Ini tepat untuk menggambarkan Kabinet yang baru seminggu dibina.

Walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berusaha keras membentuk barisan Kabinet yang mantap dan kukuh, pahat masih berbunyi dengan kuat.

Ada pun yang bising berbunyi itu adalah dalam kalangan tokoh dan pemimpin UMNO yang tidak puas hati dengan pilihan PM Muhyiddin.

Mereka kata Kabinet senget, tidak seimbang kerana portfolio penting tidak diberikan kepada UMNO.

Agaknya mereka hendak mana-mana tokoh dan pemimpin UMNO diberi jawatan kanan, menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Pada hemat Tok, lebih baik PM jangan dengar sangat pahat yang siang-malam berbunyi itu.

Baik Muhyiddin mahupun pasukannya tumpukan usaha untuk membantu rakyat, lebih-lebih lagi dalam keadaan cemas gara-gara Covid-19.

Atau, ada cara untuk menghentikan pahat-pahat itu daripada terus berbunyi: lantik mereka semua jadi menteri! Amacam?

PAHAT juga berbunyi daripada bekas anggota Jemaah Menteri pentadbiran lalu. Almaklumlah mereka tidak dapat menerima hakikat jadi menteri hanya 22 bulan.

Mereka kata anggota Kabinet sekarang ramai yang tidak layak, tetapi dilantik kerana berani membelot dan lompat parti.

Selama 22 bulan diberi peluang dalam Kabinet mereka asyik berpolitik, tikam-menikam, cucuk-mencucuk untuk menjatuhkan sesama sendiri sehingga lupa tanggungjawab kepada rakyat.

Golongan meroyan ini pun tidak perlu diberi perhatian, biarkan mereka menjerit dan hantuk kepala ke dinding.

SEORANG bekas menteri pentadbiran lalu berucap pada satu perhimpunan, memaki-hamun kerajaan sekarang.

Ketika menjadi menteri selama 22 bulan, YB ini mula belajar bercakap dan berucap secara sopan, tertib, tidak lepas cakap, jauh sekali memaki-hamun.Baru beberapa hari hilang jawatan menteri beliau naik ke pentas dan bercakap melepaskan geram dan dendam kesumat, macam orang tidak siuman.

Beliau bukan sahaja menyumpah seranah, memaki-hamun menggunakan kata-kata kesat malah mencarut.

Dulu pun YB ini memang terkenal dengan bahasa tidak sopan dan suka mencarut. Sebab itu beliau tidak lama menjadi menteri!

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan wabak Covid-19 sebagai satu pandemik.

Seluruh dunia kini dalam ketakutan dengan semua pihak diminta sentiasa berawas dan mengambil langkah berjaga.

Virus maut yang mula di kesan di Wuhan, China beberapa bulan lalu telah merebak ke seluruh dunia dengan beribu nyawa terkorban.

Sejumlah 44,067 kes Covid-19 dilaporkan di 117 negara dan wilayah di luar China sehingga kelmarin.

Jumlah kes disahkan di seluruh dunia meningkat 6,729 kes kepada 125,048, lapor agensi berita Xinhua.

Di luar China, 310 lagi pesakit meninggal dunia menjadikan jumlah kematian sebanyak 1,440.

DI negara kita Covid-19 memasuki gelombang kedua dengan jumlah kes berada pada tahap membimbangkan. Harap-harap tidak ada kematian.

Setakat ini kesan terhadap ekonomi mula terasa. Pusat-pusat beli-belah semakin lengang sebab orang ramai tidak berani berkunjung ke tempat awam.

Perniagaan, terutama penerbangan dan pelancongan, terjejas teruk. Malah di Perlis solat Jumaat pun dibatalkan dan diganti dengan solat Zuhur di rumah.Hatta, perbicaraan kes 1MDB melibatkan Datuk Seri Najib Razak pun terpaksa ditangguhkan sebab peguam belanya terpaksa berkurung gara-gara Covid-19.

Sekiranya keadaan ini berterusan pasti keadaan menjadi lebih tidak menentu. Covid-19 lebih teruk daripada kemelut politik yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan.

Maka dengan ancaman pandemik ini janganlah kecewa sangat sekiranya tidak jadi menteri. Jangan asyik hendak berpolitik.

Mari kita rapatkan saf dan berdoa semoga pandemik ini segera berakhir dan kita terlindung daripada maut.

AKHIR kalam, kita semua kena menjaga kebersihan diri untuk mengelakkan jangkitan Covid-19.

Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan, gejala-gejala penyakit ini termasuk demam, batuk, sakit tekak atau masalah pernafasan.

Sekiranya ada gejala tersebut hubungi talian KKM: 03-888 10200, 03-888 10600 dan 03-888 10700.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus