Ancaman Covid-19 di China bermula sejak November 2019

Kes pertama jangkitan koronavirus (Covid-19) didakwa dikenal pasti buat pertama kali di China pada 17 November 2019. -Foto AFP
Kes pertama jangkitan koronavirus (Covid-19) didakwa dikenal pasti buat pertama kali di China pada 17 November 2019. -Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Kes pertama jangkitan koronavirus (Covid-19) didakwa dikenal pasti buat pertama kali di China pada 17 November 2019.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, pihak berkuasa China telah mengenal pasti kira-kira 266 individu yang dijangkiti virus tersebut seawal bulan November beberapa minggu sebelum pengumuman rasmi tentang wabak baharu itu dibuat.

Data diperoleh akhbar itu mendapati seorang individu berusia 55 tahun dari wilayah Hubei menjadi pesakit pertama disahkan positif Covid-19 kira-kira sebulan sebelum kes jangkitan pandemik tersebut meningkat kepada 60 kes pada 20 Disember 2019.

Pada masa itu, seorang doktor, Li Wenliang juga cuba untuk memberi amaran kepada rakannya tentang ancaman virus seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), namun didakwa telah dihalang pihak berkuasa.

Difahamkan, kenyataan rasmi pemerintah China kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tentang kes pertama jangkitan Covid-19 telah dibuat pada 8 Disember 2019.

Pihak berkuasa di Beijing juga tidak mendedahkan virus itu boleh disebarkan antara manusia sehingga 21 Januari lalu.

Sehingga kini, virus tersebut telah menjangkiti lebih 134,300 individu di 121 negara seluruh dunia manakala jumlah kematian telah mencecah lebih 5,000 orang.

Semalam, satu perang retorik tercetus antara Amerika Syarikat (AS) dan China tentang asal virus itu selepas Beijing mendakwa wabak itu dibawa oleh tentera AS gara-gara pegawai di Washington menggelar ia sebagai 'koronavirus China' atau 'virus Wuhan' walaupun sebelum ini ia diakui berasal dari wilayah Hubei. - Agensi

Artikel Berkaitan: