Saya tidak takut akan Covid-19

A
A
A

BARU-baru ini dalam kumpulan WhatsApp taman perumahan, saya ada menerima mesej menyatakan ada kes Covid-19 di kawasan tempat tinggal saya. Kata mesej tersebut, gara-gara seorang peserta tabligh yang menyerah diri.

Kata mesej itu lagi, kakitangan klinik menjadi kelam kabut juga. Mungkin sebab tidak menyangka tiba-tiba ada kes. Pendekatan keselamatan telah diambil untuk mencegah. Setakat itu sahaja mesej yang saya terima.

Saya menunggu juga mungkin ada perkembangan terbaharu. Apatah lagi Isnin ini saya ada janji temu untuk ambil darah pula. Agak bimbang juga dengan suasana terkini. Maka saya terus menghubungi jururawat klinik.

“Puan, Isnin ini, saya ada janji temu ambil darah. Boleh datang ke?” tanya saya.

“Boleh, mai saja,” jawab jururawat yang bertugas.

Untuk menenangkan lagi jiwa, saya terus bertanya. Mana tahu mungkin jururawat itu hanya cuba menyembunyikan keadaan. Apatah lagi dengan bermacam-macam berita itu ini yang entah benar atau tidak.

Baru-baru ini pula saya ada terbaca juga surat yang ditulis oleh seorang doktor dari Toronto bernama Dr Abdhu Sharkawy. Surat ini agak menarik juga isi kandungannya dan elok dibaca untuk memberi faham kepada rakyat jelata.

Antara kandungan surat itu secara ringkasnya, beliau memberitahu akan pengalaman dalam menghadapi pelbagai gejala penyakit.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak takut dengan Covid-19 ini. Yang saya bimbang tentang implikasi ejen yang menyebar virus ini di seluruh dunia. Yang saya bimbang lagi ialah kebajikan orang-orang tua yang dijangkiti penyakit ini.

“Saya tidak takut akan Covid-19 ini. Apa yang saya takut ialah tentang hilangnya akal orang yang dalam ketakutan yang menyebabkan massa menjadi panik yang menyebabkan keadaan menjadi huru-hara seperti bom jangka yang akan menghasilkan dunia pasca-apokaliptik.

“Saya juga takut penutup muka N95 akan dicuri dari hospital dan klinik-klinik kesihatan. Dan juga ada yang mengambil kesempatan menjualnya pada harga mahal. Saya juga takut dengan keadaan terbatasnya urusan perniagaan yang akan menyebabkan berlakunya kemelesetan ekonomi yang akan memberi impak ke atas rakyat di seluruh dunia ini.

“Tetapi yang paling saya takut ialah bagaimana cara kita memberitahu anak-anak kita ketika menghadapi ancaman ini. Sepatutnya kita memberitahu dengan lebih rasional, berfikiran terbuka. Tetapi sebaliknya kita memberitahu mereka dalam keadaan panik, curiga dan mementingkan diri sendiri. Setakat ini Covid-19 masih belum ada tanda-tanda akan reda. Ia akan datang ke bandar kita, kepada kawan-kawan dan juga keluarga kita jika kita tidak berhati-hati dalam mengambil langkah yang perlu.

“Namun apa yang perlu kita lakukan ialah menerima akan keadaan ini. Tidak perlu lagi ada unsur-unsur kejutan dan menyebarkan berita yang pelik-pelik. Secara hakikatnya virus ini sendiri tidak banyak mendatangkan bahaya jika ia datang. Tetapi tingkah laku kita sendiri yang hanya berjuang untuk diri sendiri atau sikap mementingkan diri sendiri ini sebenarnya yang akan membawa bencana yang lebih besar. Oleh itu saya memohon pada anda semua. Marah hendaklah bersebab, panik hendaklah dengan kesabaran dan ketidak tentuan dengan pendidikan. Kita mempunyai peluang untuk belajar tentang kebersihan, kesihatan demi masyarakat kita.

“Mari kita bersama-sama berkasih sayang sesama kita, bersabar di atas semua usaha yang tidak putus-putus dalam mencari kebenaran dan bukan dengan sangkaan spekulasi semata-mata,” kata Dr Abdhu Sharkawy.

Fikir-fikirkanlah.

* Faisal Muhamad ialah jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com