Covid-19: 39 kes baharu, empat di ICU


DR NOOR HISHAM
DR NOOR HISHAM
A
A
A

PUTRAJAYA- [DIKEMASKINI] Sebanyak 39 kes positif koronavirus (Covid-19) baharu dilaporkan hari ini sekaligus mencatatkan peningkatan terbesar di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, daripada jumlah itu, empat dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana memerlukan bantuan pernafasan.

"Kesemua kes baharu telah dikesan dan diasingkan untuk rawatan anti-viral," katanya.

Menurutnya, kes baharu positif Covid-19 itu terdiri daripada 38 kes Patient-Under-Investigation (PUI) jangkitan dan satu kes dari kalangan kontak rapat.

"Dengan pertambahan 39 kes baharu ini, ia menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 197 kes," katanya.

Beliau berkata, bagi kes gelombang kedua yang dilaporkan (bermula kes ke-23 sehingga kes ke-197), sebanyak 52 kes dilaporkan dari kalangan PUI, manakala kes-kes lain dilaporkan melibatkan dua kluster utama yang telah dikenalpasti.

"KKM juga telah menjalankan survelan Covid-19 bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit influenza-like-illness (ILI) dan severe acute respiratory infection (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara-negara yang terjejas atau kontak kes positif Covid-19," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga hari ini, sebanyak 756 sampel telah diuji dan setakat ini sebanyak tiga telah dikesan positif jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, siasatan yang dijalankan mendapati kes-kes ini dikesan di kalangan kluster perhimpunan Ijtimak Tabligh.

"Siasatan bagi kes-kes berkenaan masih dijalankan dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa," katanya.

Mengambil kira keadaan semasa, KKM ingin menegaskan agar orang awam terutamanya bergejala jangkitan pernafasan tidak digalakkan untuk menghadiri perhimpunan atau tempat yang melibatkan ramai orang`termasuklah tempat keagamaan.

"Semua penganjuran aktiviti yang melibatkan orang awam hendaklah ditangguhkan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

KKM akan memaklumkan perkembangan jangkitan ini dari semasa ke semasa," katanya.