Exco baharu Perak akan ditapis SPRM, PDRM: Ahmad Faizal

Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 hari ini. - Foto Bernama
Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada sidang media selepas Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Lantikan Exco kerajaan Perak akan dibuat secepat mungkin bagi membolehkan pentadbiran kerajaan berjalan lancar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan bersama Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria bagi membincangkan perkara itu.

Beliau berkata, kemelut politik yang berlaku sebelum ini menyebabkan mesyuarat mingguan Exco tidak dapat diadakan.

"Adalah baik untuk saya segerakan perkara itu kerana dengan kemelut politik yang berlaku sebelum ini saya telah gagal mengadakan mesyuarat Exco lebih lima minggu.

"Jadi ini merugikan negeri kita dan saya telah berbincang dengan Datuk Saarani dan Razman untuk mengadakan perjumpaan segera bagi kita merungkai, mendapatkan satu senarai yang boleh kita sembah cadangkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah," katanya kepada pemberita selepas mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak di Lanai Casuarina, di sini, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, pelantikan Exco-exco kerajaan negeri akan dibuat dalam tempoh seminggu dan selepas diperkenan serta mengangkat sumpah jawatan, mereka boleh terus memulakan tugas.

Mengenai kriteria Exco, Ahmad Faizal berjanji calon-calon yang dipilih akan melalui proses tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Saya mengambil iktibar pemilihan Menteri Kabinet oleh Perdana Menteri. Calon-calon dicadangkan mestilah dalam kalangan mereka yang bersih dan telah ditapis melalui agensi-agensi seperti SPRM dan PDRM.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tak akan membebankan kerajaan atau menimbulkan imej tidak baik kepada kerajaan," katanya.

Sebelum ini ketika pentadbiran Pakatan Harapan, seramai 10 Exco kerajaan negeri dilantik dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).