Wisma Putra pastikan keselamatan, kebajikan rakyat Malaysia

Hishammuddin bersama timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaffar pada sidang media di Wisma Putra, Putrajaya.
Hishammuddin bersama timbalannya, Datuk Kamaruddin Jaffar pada sidang media di Wisma Putra, Putrajaya.
A
A
A

PUTRAJAYA - Wisma Putra akan terus memberi perhatian terhadap soal keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di negara yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19 dan memantau negara yang serius dengan penularan virus itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, antara negara yang sedang dipantau ialah Jerman apabila kerajaan negara itu telah membuat kenyataan bahawa kemungkinan 60 hingga 70 peratus rakyatnya akan dijangkiti Covid-19.

“Saya sudah mengarahkan kedutaan kita untuk mengikuti secara dekat 2,218 rakyat kita di Jerman. Kita kena ambil langkah proaktif untuk negara-negara seperti Jerman,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata, Wisma Putra juga akan mengukuhkan koordinasi dengan Itali dan negara yang terdapat rakyat Malaysia di sana sebelum sebarang usaha untuk membawa mereka keluar.

“Persoalannya sekarang ialah penyelarasan dua hala dengan Itali, itulah tugas dan tanggungjawab Wisma Putra di sini, sebab itu, (Timbalan Menteri Luar) Datuk Kamaruddin Jaafar akan memaklumkan perkembangan semasa termasuk perbincangan kita dengan kerajaan Itali.

“Sebelum kita bawa mereka keluar, kita perlu dapatkan hubungan yang selesa dengan kerajaan Itali. Keseluruhan negara itu tidak dibenarkan pergerakan keluar atau masuk, apa yang terfikir oleh kami ialah berapa ramai rakyat Malaysia di negara itu, tetapi kerana hubungan istimewa, saya pasti kita boleh meminta mereka memberi beberapa keutamaan kepada kita,” katanya.

Beliau berkata, terdapat 380 rakyat Malaysia di Itali telah berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana, selain 35 penjawat awam serta keluarga mereka.

Hishammuddin turut menggesa rakyat Malaysia yang berada di negara-negara terjejas akibat Covid-19 untuk berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di sana bagi memudahkan pihak perwakilan menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mereka yang memerlukan.

Artikel Berkaitan:

“Adalah penting kepada mereka agar lebih bertanggungjawab dalam memberi maklumat kepada kedutaan dan misi kita berhubung keberadaan mereka dan bersikap lebih jujur berhubung di mana mereka telah melakukan perjalanan. Ini masalahnya, kadang-kadang mereka menyembunyikan perjalanan mereka sehingga semuanya sudah terlambat,” katanya.

Berhubung misi membawa pulang baki rakyat Malaysia dari Wuhan, China, Hishammuddin berkata, Wisma Putra sentiasa berhubung dengan Pejabat Hal Ehwal Luar Negeri Hubei (Hubei FAO) bagi memohon keizinan agar lima rakyat Malaysia yang masih terkandas di Wuhan boleh berlepas pulang dari Lapangan Terbang Changsha di Wilayah Hunan.

"Lima orang rakyat Malaysia yang masih terkandas disahkan bebas dari Covid-19. Wisma Putra juga telah memberi butiran perjalanan mereka kepada Hubei FAO termasuk nombor pendaftaran kereta, maklumat pemandu serta laluan yang akan mereka gunakan. Setakat ini, Wisma Putra masih menantikan jawapan daripada Kerajaan China dan Hubei FAO juga sedang berusaha membantu sebaik mungkin," katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai perkembangan terkini berhubung usahasama antara Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Singapura dalam menangani secara serius penularan wabak Covid-19 di Johor dan Singapura.

Beliau yang dimaklumkan mengenai perkara itu melalui panggilan telefon daripada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad sebentar tadi berkata, usahasama itu amat penting memandangkan ramai rakyat Malaysia dan Singapura berulang-alik antara Johor-Singapura setiap hari.

“Keseriusan Singapura dan Johor untuk melaksanakan kerjasama erat ini juga ada kaitan rapat dengan perbualan telefon saya dengan Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan dua hari lepas.

“Saya diberitahu Datuk Hasni telah mengarahkan Exco Kesihatan Negeri Johor, R Vidyanathan untuk bekerjasama rapat dengan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba bagi meneliti apa jua langkah bersesuaian demi memastikan rakyat Malaysia khususnya dibantu sebaiknya sepanjang krisis ini,” katanya.

Beliau berkata pihak Wisma Putra berjanji akan terus membantu Kerajaan Negeri Johor dan Singapura dengan sedaya upaya demi kepentingan rakyat kedua-dua negara.- Bernama