Hibah TH naik lebih 100 peratus petunjuk baik

Profesor Dr Barjoyai Bardai
Profesor Dr Barjoyai Bardai
A
A
A

SHAH ALAM - Pengagihan kadar hibah Lembaga Tabung Haji (TH) kepada pendeposit yang naik kepada 3.05 peratus bagi tahun kewangan 2019 berbanding hanya 1.25 peratus pada tahun sebelumnya menjadi satu petunjuk baik kerana mencatatkan peningkatan lebih 100 peratus.

Pakar ekonomi, Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, keadaan itu menunjukkan berlaku proses pemulihan TH dan jika keadaan itu berterusan kadar hibah atau bonus pada masa akan datang dijangka terus meningkat.

"Cuma jika dibandingkan kadar hibah yang diumumkan sebelum 2018, diakui agak rendah kerana berlaku proses pemulihan.

"Bagaimanapun secara keseluruhan kita patut menerima kadar agihan ini sebagai satu angka yang munasabah dan sama-sama kita mendoakan negara dapat mengatasi wabak Covid-19 supaya kadar dividen yang lebih tinggi tahun depan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

TH semalam mengumumkan kadar agihan keuntungan selepas zakat yang lebih tinggi iaitu sebanyak 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 berbanding 1.25 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, ia melibatkan agihan berjumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

Bagaimanapun, Dr Barjoyai berkata, paling penting matlamat TH untuk menjamin keselesaan bakal haji dalam proses menunaikan haji dan perkara itu terbukti telah dilaksanakan dengan baik kerana mereka mengenakan kos mengerjakan haji yang rendah iaitu kurang daripada RM10,000 berbanding kos sebenarnya lebih daripada RM21,000.

Menurut beliau, kadar hibah kurang daripada empat peratus itu dipengaruhi keadaan ekonomi dan pasaran saham yang tidak memberangsangkan sepanjang 2019.

Artikel Berkaitan:

"Lebih 70 peratus pendapatan TH adalah daripada sumber pelaburan berpendapatan tetap seperti dalam bentuk sukuk sedangkan keuntungan daripada pelaburan saham adalah agak rendah kerana pasaranm saham yang kurang memberangsangkan," katanya.

Susulan itu, Dr Barjoyai berpendapat, untuk jangka masa panjang TH perlu memanfaatkan Bank Islam kerana lembaga itu menguasai bank tersebut dengan pegangan saham terbesar bagi meningkatkan lagi pendapatan seterusnya dapat meningkatkan lagi kadar agihan hibah kepada pendeposit mereka.

"Bank Islam merupakan sebuah bank yang memanfaatkan dana-dana pelaburan untuk memaksimumkan untung.

"Jadi mungkin TH boleh memanfaatkan pemilikan dalam Bank Islam untuk menjadi pengurus pelaburan bagi menjana pendapatan yang lebih mantap. Insya-Allah dengan langkah ini akan meningkat lagi kadar agihan dividen kepada pendeposit pada masa akan datang," katanya.

Mengikut rekod TH, 2012 merupakan tahun tertinggi pemberian hibah TH iaitu 6.5 peratus disusuli 2014 (6.25 peratus dan penambatan 2 peratus hibah haji); 2013 (6 peratus dan penambahan 2 peratus hibah haji); 2015 (5 peratus dan penambahan 3 peratus hibah haji); 2016 (4.25 peratus dan penambahan 1.5 peratus hibah haji) dan 2017 (4.5 peratus dan penambahan 1.75 peratus hibah haji).