Jangan guna jawatan untuk kepentingan peribadi: Sultan Nazrin

Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 di Istana Iskandariah hari ini. - Foto Bernama
Sultan Nazrin Shah berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Perak ke-13 di Istana Iskandariah hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Semua Ahli Dewan Negara diingatkan tidak menyalahguna gelaran disandang untuk mendapatkan laba bagi memenuhi kepentingan peribadi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, penempatan di jawatan itu tidak boleh sama sekali disalahguna untuk dijadikan platform memohon pelbagai manfaat daripada kerajaan, badan perniagaan, individu atau sebagai perantaraan secara memberikan surat sokongan untuk tujuan perniagaan mana-mana pihak.

"Begitu juga semua Orang Besar Negeri, Orang Besar Jajahan, pegawai dan kakitangan di pejabat masing-masing, termasuk yang ditempatkan bertugas di Pejabat Sultan, di Pejabat Raja Muda dan di Pejabat Raja Di Hilir serta kakitangan yang ditempatkan bertugas di istana.

"Masing-masing bertanggungjawab mempertahan, menjaga nama baik dan mendaulatkan institusi kesultanan.

"Kepala surat rasmi, cap rasmi dan surat rasmi, hendaklah sama sekali tidak digunakan untuk tujuan-tujuan sedemikian yang boleh memalitkan nama buruk dan mencemarkan institusi kesultanan," titah baginda pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-169 di Istana Iskandariah di sini, hari ini.

Baginda memberi perkenan melantik semula ahli-ahli Dewan Negara Perak untuk tempoh dua tahun lagi.

Terdahulu, Sultan Nazrin berkenan hadir ke istiadat angkat sumpah jawatan dan menandatangani watikah Menteri Besar Perak ke-13 oleh Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Sultan Nazrin turut bertitah, keadaan politik dalam negara telah memberi pengaruh langsung terhadap kehidupan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Baginda bertitah, percaturan politik yang berlaku di peringkat Persekutuan itu turut melimpah ke peringkat negeri.

"Di peringkat negeri, Beta telah berkenan menerima peletakan jawatan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak ke-12 sekali gus dengan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.

"Beta kemudiannya telah disembah maklum oleh kepimpinan peringkat negeri mewakili UMNO, Bersatu dan Pas untuk menubuhkan kerajaan baharu atas nama Perikatan Nasional. Setiap ketua parti di peringkat negeri telah mempersembahkan nama daripada parti masing-masing untuk pertimbangan Beta dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

"Setelah menimbang dan meneliti segala perkara, Beta telah memperkenankan Yang Berhormat Ahmad Faizal dilantik sebagai Menteri Besar Perak ke-13. Istiadat angkat sumpah jawatan telah pun disempurnakan sebentar tadi," kata baginda.

Mengambil maklum akan ancaman wabak koronavirus (Covid-19), baginda turut mendoakan semoga rakyat dijauhkan daripada penyakit berkenaan.

"Wabak virus ini sedang merebak di seluruh dunia dan mencetuskan suasana kecemasan. Akibatnya pelbagai aktiviti ekonomi terjejas di serata dunia.

"Kepada ALLAH kita pohonkan semoga para pemimpin yang telah diamanahkan dengan kuasa diberikan petunjuk dan panduan mengutamakan tanggungjawab untuk memakmurkan negeri dan menyejahterakan hidup rakyat," titah baginda.