Dr Dzulkefly sedia bantu kerajaan tangani Covid-19

Dr Dzulkefly - FOTO ZAHID IZZANI
Dr Dzulkefly - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersedia berkhidmat kepada rakyat tetapi bukan atas kapasiti menteri bagi membantu kerajaan menangani penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda negara.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu berkata, beliau sebelum ini pernah didatangi ramai individu yang mendakwa sebagai wakil Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan meminta bantuan mengenai hal tersebut.

"Secara jujurnya saya tidak pernah berinteraksi secara terus dengan beliau (Muhyiddin) tetapi ada individu tertentu yang datang bertemu saya mendakwa mewakilinya.

"Demi rakyat, saya sedia membantu tetapi saya mahu melihat syarat terlebih dahulu supaya boleh bertindak bukan sebagai menteri tetapi sebagai penasihat bersama dengan pasukan saya yang sangat berkelayakan," katanya ketika ditemu bual secara langsung bersama KiniTV hari ini.

Dr Zulkefly berkata demikian ketika mengulas sama ada pernah ditawarkan semula jawatan Menteri Kesihatan oleh Muhyiddin.

Sementara itu, Dr Zulkefly berkata, beliau juga tidak kisah untuk memberi bantuan tersebut kepada kerajaan Persekutuan tanpa sebarang bayaran.

"Saya sedia untuk berkhidmat dalam apa jua kapasiti, tetapi bukan sebagai menteri," katanya.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melantik Dr Dzulkefly sebagai ketua pasukan petugas menangani Covid-19 di Selangor yang akan dilaksanakan bersama beberapa profesional serta Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

ARTIKEL BERKAITAN: Dr Dzulkefly ketuai Majlis Tindakan Khas Covid-19 Selangor

Artikel Berkaitan:

Menerusi temubual tersebut, Dr Dzulkefly berkata, beliau juga sangat gembira dapat membantu kerajaan negeri Selangor dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

"Saya tak kisah untuk memberi bantuan kerana ini adalah isu kesihatan dan merentasi semua tetapi saya akan tumpukan kepada Selangor kerana kerajaan negeri memberikan peluang ini kepada saya

"Jika ada negeri lain yang bukan di bawah PH memerlukan bantuan dalam isu ini, saya berbesar hati untuk membantu. Dengan keupayaan dimiliki, saya dan pasukan yakin dapat membantu Kementerian Kesihatan dan kita bukan hendak bersaing dengan mereka," katanya.