'Wajah arwah Amin bersih, berseri seminggu sebelum pergi'

KUALA TERENGGANU - "Wajah arwah cerah dan berseri, lain daripada biasa, mungkin itu petanda sebelum dia pergi buat selama-lamanya."
Demikian luahan guru Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Al-Jannah, Kampung Tanjung Bunut, Azizah Mohd, yang terkesan dengan pemergian Muhammad Al Amin Khairul Syahmi, 5, dan ibunya, Isnaini Mohd, 42, akibat nahas jalan raya di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), pada petang Selasa.
Azizah yang mendidik arwah sejak berumur empat tahun menyifatkan kanak-kanak itu yang mesra dipanggil Amin sebagai murid pendiam, mudah diurus, sentiasa tersenyum dan tidak pernah menyusahkan sesiapa.

"Kami guru Pasti di sini terkesan dengan kehilangan arwah. Minggu lepas wajah dia lain, nampak sangat putih, pucat dan berseri.
“Arwah juga datang lebih awal daripada biasa. Tapi tak sangka itu minggu terakhir dia bersama kami, dan Isnin lepas merupakan hari terakhir arwah datang ke sekolah. Kami bergurau serta ketawa bersama,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.
Menurut Azizah, kebiasaannya anak bongsu daripada empat beradik itu tidak mengikut ibu bapanya ke luar kawasan dan akan dihantar ke sekolah oleh mereka sebelum dijemput oleh datuk atau nenek pada waktu tengah hari.
"Tapi semalam (Selasa), mungkin sudah tersurat, arwah beria menangis mahu ikut ibu dan bapanya bekerja sebelum terlibat kemalangan," ujarnya.
Menurut Azizah, seramai 20 murid Pasti menziarahi jenazah Allahyarham Muhammad Al Amin dan ibunya sebelum kedua-duanya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Pasu, di sini sekitar jam 11.30 pagi pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan dua beranak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas lori dinaiki mereka hilang kawalan dipercayai akibat tayar pecah sebelum kenderaan itu terbabas dan terbalik di Kilometer 362.9, LPT2, berhampiran susur keluar Plaza Tol Bukit Besi di Dungun, pada Selasa.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 4 petang akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Suami Isnaini yang juga pemandu lori, Khairul Syahmi Mat Hassan, 49, cedera parah dan menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu yang bekerja di sebuah syarikat pembekal perkakasan elektrik sedang dalam perjalanan pulang ke Gong Badak, Kuala Nerus selepas menghantar ‘chamber’ pembumian elektrik di Kuantan, Pahang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
