FAM tangguh semua perlawanan bola sepak

Hamidin (kanan) ketika sidang media di Wisma FAM hari ini mengenai penangguhan perlawanan anjuran FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ekoran penularan jangkitan Covid-19. - Foto Bernama
Hamidin (kanan) ketika sidang media di Wisma FAM hari ini mengenai penangguhan perlawanan anjuran FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ekoran penularan jangkitan Covid-19. - Foto Bernama
A
A
A

[DIKEMSKINI] PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat keputusan untuk menangguhkan semua perlawanan di bawah kelolaan badan induk itu dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berkuat kuasa Isnin ini akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, keputusan penangguhan Liga Malaysia (Liga-M) itu dibuat demi kepentingan dan kesejahteraan semua pihak terutamanya para pemain, pegawai, penyokong pasukan.

Bagaimanapun Hamidin berkata, perlawanan Liga Super, Liga Premier, Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) serta Piala Belia yang dijadualkan berlangsung minggu ini akan tetap diadakan, namun tanpa kehadiran penyokong.

“Selepas perlawanan keempat Liga Super dan Liga Premier minggu ini, kami membuat keputusan untuk menangguhkan Liga-M termasuk saingan Piala FA dan kejohanan kelolaan FAM sehingga tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

"Semua pasukan sudah dimaklumkan mengenai keputusan ini dan mereka jelas memberikan sokongan penuh. Ia keputusan sukar tetapi saya percaya ini adalah yang terbaik untuk keseluruhan industri bola sepak tanah air.

“Walaupun perlawanan minggu ini diteruskan tetapi kami memandang serius mengenai isu wabak ini dan langkah berjaga-jaga diambil. Kami juga telah memberikan garis panduan bermain di stadium tanpa penyokong kepada setiap pasukan,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.

Selaku badan pentadbir Liga-M, MFL bertanggungjawab menguruskan saingan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Piala Malaysia manakala penganjuran Piala Presiden, Piala Belia dan MPFL di bawah kelolaan FAM.

Hamidin memberitahu, keputusan penangguhan itu dilakukan secara teliti dan dicapai secara perbincangan bersama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN), Rakan Kongsi Liga-M dan pihak penaja.

Artikel Berkaitan:

“Bila (Liga-M) akan disambung semula itu bergantung kepada tahap wabak ini. Di pihak kami sudah tentu kami mahu wabak ini selesai cepat dan melihat keadaannya sehingga kita boleh mulakan balik saingan liga,” katanya yang juga Presiden MFL.

Pada masa sama, beliau mengharapkan semua pihak terlibat memahami mengenai penangguhan Liga-M itu memandangkan Covid-19 disifatkan wabak yang serius selain merebak dengan cepat.

“Kami berharap dengan keputusan yang dicapai ini dapat meleraikan tanda tanya pasukan, penyokong mengenai status Liga-M musim 2020. Kami yakin keputusan ini adalah untuk kebaikan bersama dalam usaha kita mencegah wabak Covid-19 daripada terus merebak.

“Saya juga ingin mengingatkan dan menasihatkan kepada persatuan bola negeri yang menjalankan liga-liga negeri dan juga pengendali liga sosial supaya mematuhi arahan ini dengan menangguhkan sebarang aktiviti luar kerana wabak ini cepat menular,” katanya.