Kerajaan lama, baharu jelas sayangkan Malaysia

Dari kiri; Sayed Munawar selaku moderator, Dr Syarifah Syahirah, Dr Kelvin dan Dr Asyraf Wajdi pada Wacana Sinar Harian Siri 160 bertajuk Berubahkah Dasar Dengan Lantikan Menteri Baharu? di Auditorium Karangkraf malam tadi. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Dari kiri; Sayed Munawar selaku moderator, Dr Syarifah Syahirah, Dr Kelvin dan Dr Asyraf Wajdi pada Wacana Sinar Harian Siri 160 bertajuk Berubahkah Dasar Dengan Lantikan Menteri Baharu? di Auditorium Karangkraf malam tadi. - Foto ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak banyak perbezaan nilai-nilai dasar yang diketengahkan kerajaan baharu dibentuk berbanding kerajaan terdahulu kerana masing-masing jelas 'sayangkan Malaysia'.

Penganalisis politik, Dr Syarifah Syahirah Syed Sheikh berkata, perkara itu adalah jelas antara kedua-dua parti gabungan semasa dan terdahulu antaranya terhadap dasar berkaitan hak asasi manusia.

Namun beliau menyuarakan kebimbangan terhadap pandangan sesetengah pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mengatakan ideologi kerajaan semasa dilihat sedikit konservatif.

"Kalau kita tengok dari segi jumlah representasi dalam demokrasi politik kehadiran mestilah merefleksikan populasi politik negara. Kalau dari segi itu mungkin ada sedikit tidak puas hati dan kerisauan.

"Adakah ia akan memberi ideologi yang lebih konservatif atau akan meneruskan ideologi bersifat lebih demokratik, lebih inklusif dan terbuka. Itu yang kita nampak (sebagai) ideologi yang merisaukan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 160 bertajuk Berubahkah Dasar Dengan Lantikan Menteri Baharu? di Auditorium Karangkraf di Seksyen 15 di sini malam tadi.

Wacana Sinar Harian itu turut menampilkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii Lee Wuen serta moderator, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Mengulas lanjut, beliau juga melihat kehadiran Pas dalam penubuhan kerajaan baharu turut menimbulkan pelbagai reaksi rakyat yang mungkin bimbang sekiranya parti itu lebih bersikap konservatif.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini ada juga kerisauan terhadap kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 kerana dianggap terlalu 'far left' menyebabkan orang terlalu risau ia menjadi terlalu liberal dan terbuka dan sebagainya.

"Namun kalau mengambil kira pandangan netizen mereka berharap pemikiran kita lebih kepada Malaysia, demokrasi lebih mementingkan perpaduan antara kaum dan juga masyarakat majmuk," katanya.

Terdahulu, beliau turut menyarankan semua pihak tidak menggunakan istilah kerajaan yang memerintah dengan nama gabungan parti politik sebaliknya menggunakan nama kerajaan Malaysia.

Ini kerana katanya, penggunaan istilah kerajaan Perikatan Nasional dan sebelum ini kerajaan Pakatan Harapan seperti menganggap pegawai-pegawai kerajaan berkhidmat kepada parti politik.

"Lepas ini kalau boleh kita lebih kepada (istilah) ini iaitu kerajaan Malaysia daripada kita lebih mengetengahkan (kerajaan dengan nama) parti sebab agenda parti adalah ketika pilihan raya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO kekal pendirian jadi parti semak, imbang