SMK Meru juara Piala Sumbangsih

Pemain pasukan SMK Meru meraikan kemenangan muncul juara Piala Sumbangsih selepas menewaskan SMK Dato' Harun di padang SMK Seksyen 9 hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR
Pemain pasukan SMK Meru meraikan kemenangan muncul juara Piala Sumbangsih selepas menewaskan SMK Dato' Harun di padang SMK Seksyen 9 hari ini. - Foto ASRIL ASWANDI ABDUL SHUKOR
A
A
A

SHAH ALAM - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru merangkul gelaran juara Piala Sumbangsih selepas menewaskan pasukan SMK Dato' Harun, Tanjung Karang dalam saingan yang berlangsung di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, hari ini.

Pasukan SMK Meru meraih kemenangan itu menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas kedudukan perlawanan terikat 1-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Jurulatih pasukan, Azhar Nordin berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan anak buahnya yang membuat kebangkitan semula selepas ketinggalan satu gol pada separuh masa pertama.

Katanya, kemenangan itu sememangnya menjadi pembakar semangat buat anak buahnya dalam memberi saingan dalam aksi Piala Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) selepas ini.

"Kita mempunyai pemain-pemain yang berkualiti dan semestinya dalam Kejohanan Piala Mokhtar Dahari ini kita sasarkan untuk menjadi juara," katanya kepada Sinar Harian.

Saingan Piala Sumbangsih merupakan perlawanan pembukaan yang menemukan juara dan naib juara Kejohanan Piala Mokhtar Dahari (bawah 15 tahun) pada musim lalu.

Saingan kejohanan itu yang bermula hari ini sehingga 11 April depan bakal mengumpulkan 32 pasukan terbaik dari setiap daerah di Selangor dalam merebut tempat di aksi final yang dijadualkan berlangsung di Padang 3K, Subang Jaya.

Dalam pada itu, Pengerusi kejohanan, Datuk Emran Kadir berkata, pihaknya berharap kejohanan itu dapat menjadi platform terbaik bagi mengetengahkan bakat pemain muda di negeri ini ke peringkat lebih tinggi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, terdapat pemain dari kejohanan berkenaan sebelum ini telah diserap mewakili beberapa pasukan negeri dan kebangsaan.

"Kejohanan ini juga sering dihadiri beberapa wakil kelab tempatan yang ingin mencari pemain baharu buat pasukan mereka," katanya.

Difahamkan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dijangka turut sama sewaktu aksi perlawanan akhir nanti bagi menyampaikan hadiah kejohanan.

Juara aksi Piala Datuk Mokhtar Dahari bakal membawa pulang hadiah bernilai RM8,000, naib juara RM6,000, tempat ketiga RM4,000 manakala keempat menerima RM2,000.