Anak Pekebun Kecil RISDA catat keputusan cemerlang SPM

Muhammad Helmi berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A.
Muhammad Helmi berjaya memperoleh keputusan cemerlang 9A.
A
A
A

KUALA LUMPUR - "Kejayaan ini adalah hasil usaha dan doa saya selama ini." itu luahan anak salah seorang usahawan pekebun kecil bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Muhammad Helmi Rozain, 18, yang berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 baru-baru ini.

Muhammad Helmi yang merupakan pelajar dari Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu berjaya mendapat keputusan 9A dalam SPM dan turut menjadi antara calon cemerlang sekolah itu.

Katanya, dia berasa amat bersyukur apabila dapat menghadiahkan kejayaan diperolehinya itu kepada ibu bapanya yang telah banyak berkorban selama ini.

"Saya gembira apabila lihat ibu dan ayah gembira sewaktu saya naik ke pentas bagi menerima keputusan cemerlang ini. Ini merupakan hasil titik peluh usaha serta doa saya yang tidak putus-putus sebelum ini," katanya.

Mengulas mengenai perancangannya selepas ini, Muhammad Helmi berkata, dia bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam jurusan sains komputer berikutan permintaan dalam bidang itu semakin kini meningkat.

Katanya, perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) juga dijangka akan dapat menyediakan peluang pekerjaan yang besar dalam bidang berkenaan.

"Saya berharap agar dapat meneruskan kecemerlangan yang diperoleh ini walau di mana saya berada selepas ini," katanya.

Sementara itu, ibunya, Zariah Ibrahim, 41, berkata, dia amat bersyukur di atas kejayaan yang diperolehi anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia berharap kejayaan Helmi itu dapat menjadi pembakar semangat buat tiga anaknya yang lain.

"Kami dulu orang susah, berniaga guna modal sendiri dan lepas RISDA bantu, barulah kami dapat tingkatkan taraf kehidupan kami.

"Sebab itu saya amat bersyukur dengan keputusan yang diperolehi Helmi kerana ia dapat menjadi pembakar semangat buat adiknya yang lain untuk berjaya lepas ini," katanya.

Norlina (kanan) bersyukur anaknya, Nur Adlynn Adryana (kiri) menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM bari ini.
Norlina (kanan) bersyukur anaknya, Nur Adlynn Adryana (kiri) menerima keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM bari ini.

Sementara itu, seorang lagi pekebun kecil bimbingan RISDA di Melaka, Norlina Zuber, 61, turut memanjatkan kesyukuran apabila anaknya bongsunya, Nur Adlynn Adryana Abu Husin, 18, meraih keputusan 8A dalam SPM baru-baru ini.

Ibu kepada tujuh cahaya mata itu berkata, kehidupan mereka sekeluarga suatu ketika dahulu amat susah dan disebabkan itu dia sentiasa mengingatkan anak-anaknya untuk mengutamakan pelajaran.

"Alhamdulillah, berkat usaha mereka, semua anak-anak saya boleh dikatakan berjaya meraih keputusan cemerlang dalam SPM sebelum ini," katanya.

Mengimbau kembali saat kesukaran hidup pernah dihadapinya, Norlina berkata, sebelum menjadi usahawan bimbingan RISDA, dia bekerja dalam sektor perbankan.

"Gaji ketika itu tidaklah begitu besar dan saya terpaksa berhenti kerja untuk cuba meraih pendapatan lebih dalam bidang perniagaan pula," katanya.

Sejak itu, Norlina berkata, dia banyak mendapat bimbingan daripada RISDA untuk menjadi usahawan.

"Selepas itu kehidupan kami sekeluarga semakin meningkat dan saya sentiasa ingatkan anak-anak untuk ambil iktibar serta mengutamakan pelajaran dalam kehidupan mereka," katanya.