X

Kindly register in order to view this article
!

Nikmat hidup lebih ceria

A
A

MALAYSIA pernah menduduki tangga ke-35 dalam senarai negara paling bahagia di dunia berdasarkan kajian World Happiness Report 2018 yang dijalankan oleh United Nations Sustainable Development Network (SDSN).

Indeks Kebahagiaan Dunia ini dibuat berdasarkan penilaian tahunan ke atas lebih 150 negara bagi menentukan negara mana ‘paling bahagia’. Hari Kebahagiaan Sedunia dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada tahun 2013 dan disambut setiap 20 Mac bagi mewujudkan kesejahteraan dan keamanan dalam kalangan masyarakat.

Namun, kedudukan Malaysia pada 2019 dilaporkan menjunam 45 anak tangga kepada kedudukan ke-80, jauh ketinggalan di belakang negara seperti Tenggara Singapura dan Thailand. Apakah ini menggambarkan rakyat negara ini tidak bahagia?

Sejak akhir-akhir ini isu berkaitan kaum dan agama sering diperkatakan. Pelbagai pihak berpendapat, isu perkauman dan sensitiviti agama boleh menggugat perpaduan rakyat, mencetuskan huru-hara, menimbulkan konflik.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pernah mengingatkan rakyat supaya terus mengekalkan perpaduan dan semangat muhibah. Seluruh rakyat Malaysia di semua peringkat tanpa mengira kaum, bangsa, warna kulit mahupun usia, bertanggungjawab untuk berusaha mengembalikan keharmonian dan keceriaan agar sentiasa terjalin.

Jenayah sosial jejas keharmonian

Jenayah boleh berlaku dari pelbagai sudut dan punca termasuk provokasi. Hari ini, kemudahan media sosial telah disalahgunakan dan dijadikan tempat untuk pelbagai pihak melahirkan rasa tidak puas hati, marah, dendam dan mengugut hingga mendorong kepada perbuatan jenayah.

Apakah faktor-faktor yang mendorong kepada perlakuan jenayah? Kajian oleh Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia berkaitan kaji jenayah (Criminology) menyebut, faktor yang boleh membawa kepada jenayah berkait rapat dengan:

Faktor Ekonomi:

Kemiskinan dan kepapaan, pengangguran, kekurangan wang dan pendapatan, kenaikan harga barang-barang, tekanan inflasi, persekitaran ekonomi sekeliling, iklan, propaganda dan lain-lain lagi.

Faktor Sosial:

Masalah asuhan, pendidikan yang tidak berkesan, latar belakang keluarga, pengaruh persekitaran/masyarakat, kepadatan penduduk, kawasan perumahan (setinggan) dan lain-lain lagi. Faktor psikologi: Berkait dengan nafsu yang tidak dapat dikawal, cuba meniru apa orang lain buat, penemuan jalan buntu, terdesak, tertekan, tiada jalan lain kecuali, ingin memiliki sesuatu, sengaja ingin mencuba dan lain-lain lagi.

Ekonomi stabil hidup harmoni

Masalah kewangan mampu menjadi virus yang boleh mencetuskan pelbagai masalah lebih besar iaitu masalah sosial dan psikologi. Pihak Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mendedahkan, ramai yang bukan hanya dibelenggu masalah kewangan dengan pihak bank tetapi turut terjerumus dalam perangkap ah long.

Kajian itu turut mendapati tiga punca utama masalah kewangan adalah disebabkan cara hidup mewah melebihi kemampuan, kegagalan dalam pelaburan serta perniagaan dan perkara di luar kawalan seperti kecederaan fizikal sehingga kehilangan sumber pendapatan.

Ubah gaya hidup dan bangun untuk tampil menjadi seorang yang baharu. Individu yang berada dalam krisis kewangan akan membina stres. Stres membuka jalan kepada masalah hubungan dengan pasangan, anak-anak, ahli keluarga, jiran tetangga dan komuniti setempat.

Fokus: Jadi diri sendiri

Ukur baju di badan sendiri. Pepatah ini boleh dijadikan inspirasi untuk melihat prestasi ekonomi anda dari semasa ke semasa sebelum terpengaruh dengan gaya hidup dan kemewahan orang lain.

Sasaran: Matlamat kehidupan

Bayangkan apa akan jadi 5 tahun atau 10 tahun akan datang, bagaimana diri anda ketika itu? Senaraikan matlamat kehidupan yang realistik dan seimbang dari segi ekonomi, pendidikan, keperluan semasa dan masa depan.

Wang: Berbelanja jika perlu

Manusia sering mengharapkan kesempurnaan. Inginkan pakaian baharu setiap hari, rumah yang besar bak mahligai, kereta yang menjalar mewah. Lihat semula, senaraikan satu persatu, adakah ia benarbenar perlu dan mampu dimiliki?

Hutang: Jangan melebihi had

Tidak ada manusia yang tidak berhutang, tetapi berhutanglah untuk perkara yang utama sahaja. Hutang sepatutnya tidak melebihi daripada 50% wang pendapatan. Separuh daripada baki gaji diperlukan untuk simpanan dan keperluan semasa.

Pekerjaan

Untuk memastikan Malaysia kekal makmur, ia memerlukan pendekatan baharu ke arah memanfaatkan segala sumber modal insan yang kita miliki termasuk bakat tersembunyi demi masa depan yang terjamin.

Pada masa kini, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) akan menjadi pemacu utama atau ‘game changer’ melalui usaha kerajaan melahirkan tenaga mahir tempatan yang mempunyai kemahiran tinggi.

Inisiatif “Kolar Baru” diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi memperkasakan lebih ramai rakyat Malaysia untuk menyertai TVET.

Pekerjaan kritikal (COL) merupakan rujukan berasaskan bukti bagi pekerjaan yang mendapat permintaan tinggi dan berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja dalam pasaran buruh Malaysia. Ketahui lebih lanjut mengenai COL dan pekerjaan yang dikehendaki Malaysia di www.talentcorp.com.my/col atau www. ilmia.gov.my/index.php/en/component/zoo/item/critical-occupationslistreport-2018-2019

Kesihatan:

Skim Perlindungan Kesihatan Nasional (mySalam) adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada individu B40 yang juga penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 berumur 18 hingga 55 tahun serta pasangan mereka. Pada tahun 2020, skim ini juga telah diperluas kepada individu berkategori M40 iaitu mereka yang mempunyai pendapatan kasar tahunan di bawah RM100,000.00.

Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) pula adalah satu inisiatif kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah, dengan memberi fokus terhadap penyakit tidak berjangkit (NCD).

Jaminan kerajaan demi masa depan hidup rakyat

Tempat perlindungan:

- PR1MA untuk rakyat berpendapatan RM2,500 – RM15,000.

- Skim Rumah Pertamaku untuk golongan pekerja swasta yang bergaji RM5,000 ke bawah.

- Perumahan Penjawat Awam Malaysia untuk penjawat awam termasuk anak pesara kerajaan.

- Skim Rumah Selangorku masih ditawarkan untuk rakyat Selangor.

- Rumah Mesra Rakyat tawar bayaran bulanan serendah RM270 sebulan.

- Rumah Wilayah Persekutuan skim rumah mampu milik khas untuk warga Wilayah Persekutuan.

- PR1MA Rent to Own program Sewa Milik kediaman selama 10 tahun bagi yang gagal kelulusan pinjaman bank panel PR1MA.

- BSN MyHome untuk golongan bekerja sendiri atau yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

- Program Perumahan Rakyat untuk penempatan semula setinggan dan golongan berpendapatan rendah.

- Perumahan Transit Belia menyediakan kadar sewa 30% lebih rendah daripada harga pasaran.

- Perumahan Awam DBKL layak untuk yang berpendapatan RM4,000 sebulan ke bawah.

- Skim Bantuan Sewa Rumah oleh DBKL bantu golongan miskin yang tidak mampu membayar sewa rumah dan tunggakan.

Pendidikan:

- Komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan di Malaysia sangat tinggi. Hasilnya, sistem pendidikan mengalami perkembangan pesat sejak 50 tahun lalu. Sepanjang tempoh tersebut, pelbagai kejayaan berjaya diukir.

Antara Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 menawarkan:

- Kesamarataan akses kepada pendidikan berkualiti bertaraf antarabangsa.

- Melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai.

- Transformasi keguruan sebagai profesion pilihan.

- Memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

- Memanfaatkan ICT bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia.

- Transformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian pendidikan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus