Tak mampu ganti bumbung rumah bocor

Abd Aziz dan isteri menunjukkan kebocoran bumbung rumahnya di Kampung Batu 38, di sini.
A
A

SABAK BERNAM - Seorang penjaga kebun hidup dalam kebimbangan berikutan bumbung rumahnya yang bocor tidak diganti berikutan tidak berkemampuan membaik pulih segala kerosakan kerana kesempitan hidup.

Abd Aziz Ismail, 58, dan isterinya, Halijah Md Yusob, 44, yang menetap di Kampung Batu 38, di sini, juga berdepan masalah dinding dan tandas yang semakin mereput.

Abd Aziz berkata, dapur dan bilik utama rumah berusia hampir 30 tahun peninggalan arwah datuk isterinya akan dimasuki air setiap kali hujan dan keadaan itu mengundang rasa tak selesa.

“Saya sebelum ini bekerja sebagai pemandu peribadi dan sepanjang 11 tahun mendirikan rumah tangga dengan Halijah serta tak dikurniakan anak. Saya terpaksa berhenti kerja selepas pembedahan di bahagian mata akibat katarak selain mempunyai penyakit asma, kencing manis dan darah tinggi.

“Sekarang ini, saya bekerja sebagai penjaga kebun dengan pendapatan tidak menentu. Adakala, saya dan isteri terpaksa makan ala-kadar sebab masalah kekangan kewangan selain segan meminjam dari jiran dan sanak-saudara,” katanya.