Tanah ramuan bendung Covid-19

A
A
A

KETAKUTAN terhadap wabak penyakit koronavirus 2019 (Covid-19) mula sampai takat paling membimbangkan. Dipercayai ketakutan ini melebihi ketika wabak typhus atau demam tifus menghancurkan kota Athens pada 430 sebelum Masihi (SM).

Ketika perang Peloponnesian antara Athens dan Sparta, virus tifus membunuh hampir 100,000 orang menerusi pembekalan makanan. Virus tifus tersebar sehingga ke daerah Mediterranean timur.

Wabak virus terbesar dalam lipatan sejarah dunia ialah wabak antonine atau wabak galen yang mula tersebar pada pemerintahan empayar Rom pada 165 hingga 180 SM dan dilaporkan kematian mencecah 10 juta orang.

Virus tersebut dikatakan epidemik kuno berpunca daripada tentera Rom yang menyebabkan penyakit cacar atau campak bersaiz besar pada keseluruhan badan pesakit.

Wabak tersebut tersebar luas sekali lagi pada 155 sehingga 235 Masihi menyebabkan kematian anggaran 2,000 orang sehari sekali gus menghancurkan tentera Rom pada ketika itu.

Covid-19 ialah sekumpulan virus menyebabkan penyakit berpunca daripada haiwan mamalia dan burung. Covid-19 menyebabkan jangkitan saluran pernafasan biasanya ringan dan selesema biasa walaupun bentuk virusnya lebih lemah daripada Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

SARS yang menular pada 2003 menyebabkan kematian lebih 700 orang dan Middle East Respiratory Syndrome (MERS) yang menyebabkan kematian hampir 1,000 orang dari 2012 hingga akhir 2019 tetapi Covid-19 apabila bermutasi boleh membunuh dalam tempoh 10 dan 14 hari.

Ketegangan Wuhan dikenal pasti sebagai ketegangan baharu betacoronavirus daripada kumpulan 2B dengan kira-kira 70 peratus persamaan genetik kepada SARS-Covid.

Artikel Berkaitan:

Virus ini mempunyai kesamaan 96 peratus kepada koronavirus pada kelawar. Justeru, saintis syak virus ini menular secara meluas asal daripada kelawar yang hidup di celahan bangunan lama yang kotor di Wuhan.

Gejala Covid-19 berbeza-beza mengikut spesies haiwan pembawa. Jika burung dan kelawar, pesakit akan mengalami kesukaran pernafasan.

Empat peratus daripada punca lembu dan babi pula akan menyebabkan pesakit cirit-birit. Virus ini akan menjangkit daripada pembawa kepada pesakit lain melalui udara atau air seperti titisan pernafasan (respiratory droplets) yang dihasilkan daripada bersin, batuk dan sentuhan.

Penulis ada bukti menunjukkan bahawa kajian teknologi membuktikan pernafasan keluar melalui hidung atau mulut mungkin mengandungi kuman penyakit atau kotoran kerana proses semula jadi kehidupan manusia demi kesihatan.

Ini sejajar nasihat Rasulullah SAW diriwayatkan Abu Qatadah RA [Sahih al-Bukhari, 111] bermaksud, “Apabila seseorang kamu minum, janganlah bernafas ke dalam bijana tempat minum dan apabila kamu buang air janganlah menyentuh kemaluan dengan tangan kanan dan jangan pula bersuci dengan tangan kanan.”

Oleh kerana itu, kita perlu menutup mulut ketika bersin atau batuk dan membuang tisu pembersih hingus di tempat sesuai. Menjaga kebersihan diri terutama cuci tangan, terutama ketika bersentuhan dengan seseorang yang dicurigai berlaku pemindahan lendir mengandungi virus penyakit.

Setakat ini, masih belum ada vaksin atau ubat antivirus bagi mencegah atau merawat Covid-19 terhadap manusia.

Dengan hanya mencuci tangan dengan alkohol atau sanitizer bagi membunuh virus tidak cukup kerana sifat virus ini sangat stabil dan mudah bermutasi.

Sedangkan Rasulullah pernah menyatakan yang diriwayatkan Abu Hurairah RA [Sahih al-Bukhari, 1662] yang sabdanya, “Bagi setiap penyakit yang diturunkan ALLAH pasti ada ubatnya yang juga diturunkan-Nya.”

Penulis yakin teknologi atau saintis boleh mencipta antivirus Covid-19 bagi membendung virus ini daripada ganas menular. Penulis mencadangkan kajian pembentukan antivirus dihasilkan daripada unsur tanah kerana asalnya kejadian manusia sebagaimana ALLAH menyebut dalam al-Quran Surah Thaaha [20:55], Faathir [35:11] dan Shaad [38:71-72].

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan, Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor