X

Kindly register in order to view this article
!

Defisit keyakinan rakyat

A
A

JIKA ada isu paling genting dalam politik negara maka defisit keyakinan kepada ahli politik menjadi isunya.

Gelora politik tidak kunjung selesai sehingga di tengah-tengah negara berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi dan ditambah dengan ombak serangan virus koronavirus (Covid-19) yang mengerikan, krisis alam sekitar yang meruncing, kos sara hidup yang menghimpit, namun ahli politik terus sibuk dengan percaturan politik yang memualkan.

Rakyat tidak boleh dipersalahkan jika mereka menyimpan rasa kecewa dan membuang kepercayaan kepada ahli politik.

Kecuali mereka yang ghairah dengan politik kepartian, rakyat kebanyakan mengeluh kenapa soal hidup mereka yang terhimpit perit tidak diberi perhatian.

Lalu tidak mengejutkan jika antara penarafan mereka yang paling rakyat tidak percaya, ahli politik berada di tangga paling tinggi.

Ketidakyakinan rakyat kepada ahli politik lebih diparahkan lagi apabila ada ahli politik mencipta kejutan sendiri dengan melompat parti.

Mereka menang atas sokongan dan keringat rakyat namun dengan rasa tidak bersalah mengkhianati mandat rakyat.

Bila diminta penjelasan ahli politik yang beralih parti memberi pelbagai alasan dan rasional.

Ada pula yang melontar dalil agama untuk mengabsahkan tindakannya. Lalu tidak mengejutkan jika rakyat hilang keyakinan.

Selama 14 kali pilihan raya dilaksanakan dengan peruntukan negara daripada wang rakyat berjumlah berbilion ringgit. Belum lagi ratusan juta wang yang ditabur oleh parti dan orang politik. Maka rakyat bagaikan bola ditendang ikut suka oleh ahli politik yang bernafsu untuk mendapat kedudukan yang berprestij.

Kuasa

Sememangnya politik adalah disiplin hidup yang tidak boleh dielakkan. Politik berkaitan dengan kuasa. Kuasa adalah untuk menentukan pengurusan negara agar berjalan dengan baik.

Tanpa kuasa politik negara tidak boleh diuruskan kerana ia adalah mandat rakyat, namun bila ahli politik menumpu kepada perebutan kuasa, mereka sanggup mengenepikan amanah rakyat hanya kerana mahu berkuasa.

Bermula dengan keghairahan mahu mengekal kuasa itulah politik menjadi medan pertempuran, tipu daya, tawar-menawar serta jual beli yang menjijikkan.

Ada ahli politik yang sanggup menjual diri dan tidak mengendahkan mandat rakyat. Janji yang ditabur hanya untuk meraih undi.

Tidak berjaya dengan janji, ditabur wang kepada rakyat, malah lebih esktrem disuap wang dan jawatan kepada parti lawan. Pokoknya dilupakan sahaja politik bersih dan politik beramanah.

Memulih keyakinan bukan mudah. Namun ia juga memberi impak besar kepada negara jika diperkira kesan kepada hubungan antarabangsa dan pelabur. Ketidakyakinan domestik boleh sahaja menjalar kepada ketidakyakinan antarabangsa.

Apabila parti politik sanggup bergelumang dengan politik kotor dan merosakkan prinsip dalam sistem demokrasi, negara dilihat sebagai entiti yang tidak boleh dipercayai lalu akan terjejas keyakinan dunia luar.

Apa yang dilalui oleh politik Malaysia sememangnya unik. Di kebanyakan negara demokrasi jarang didengari kerajaan dijatuhkan oleh politik lompat parti. Kerajaan jatuh sama ada oleh amukan rakyat di jalanan atau berlaku kudeta atau rampasan kuasa oleh tentera.

Kita berasa bertuah dan bersyukur kerana tidak berlaku pertumpahan darah di negara ini akan tetapi budaya politik jual beli dan politik pengkhianatan tidak boleh dibenarkan di negara ini.

Kita bertarung nyawa dalam memperjuangkan tanah air agar bebas daripada komunis dan penjajah British. Jangan dibiarkan negara ini tergadai oleh ahli politik yang berkerenah, melakukan politik kotor dan memusnahkan mandat rakyat melalui pilihan raya yang menghanguskan ratusan juta ringgit.

Sudah sampai masanya disiplin ahli politik diperketatkan. Daripada soal kelayakan fizikal, kelulusan yang tulen, semakan terhadap sebarang rekod jenayah dan menyemak harta peribadi.

Perundangan perlu digubal ke arah menghalang ahli politik melompat parti atau mengisytihar keluar parti tanpa melalui proses yang dikaitkan dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!