Malaysia sekat kemasukan rakyat Denmark mulai Sabtu

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto 123RF
Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. - Foto 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan membuat sekatan perjalanan sepenuhnya terhadap kemasukan rakyat Denmark berkuat kuasa Sabtu ini, selaras dengan status ‘lockdown’ di negara tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Denmark menjadi negara keempat memasuki senarai sekatan perjalanan selepas Itali, Iran dan Korea Selatan dalam usaha kerajaan mengawal penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini.

Semalam Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen mengumumkan sekatan perjalanan keluar masuk di negara itu, berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di mana setakat ini negara tersebut mencatat 514 kes, sementara jumlah mangsa yang dikuarantin sebanyak 1,303.

Mohd Redzuan berkata, sekatan itu turut merangkumi warganegara asing lain yang datang dari negara tersebut atau transit di mana-mana pintu masuk negara.

Beliau berkata, rakyat Malaysia, penduduk tetap dan pemegang pas jangka panjang yang tiba dari Denmark akan dikenakan perintah kuarantin sendiri selama 14 hari.

"Rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan ke Denmark, sekiranya perjalanan berkenaan tidak mendesak atas faktor risiko, mendapat jangkitan semasa berada di negara terbabit," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Covid-19 Bilangan 3 Tahun 2020 bersama Ketua-Ketua Setiausaha dan Ketua-Ketua Pengarah serta wakil daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan, di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata, sekatan perjalanan sepenuhnya itu tidak dikuat kuasa serta-merta kerana pihaknya perlu memaklumkan Kedutaan Denmark di Malaysia terlebih dahulu.

Beliau berkata, mana-mana rakyat Denmark atau warganegara lain yang tiba di negara ini, dari transit di negara ketiga selepas berlepas dari negara terbabit (Denmark), juga dikenakan sekatan itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Redzuan berkata, selepas Denmark, kerajaan juga dijangka akan mengumumkan senarai negara yang akan turut dikenakan sekatan perjalanan selepas mengadakan mesyuarat bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kami akan umumkan esok beberapa negara yang lebih serius (di mana) kes kematian tinggi," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan berkata, satu garis panduan prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Penularan Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 Covid-19 di sekolah sudah dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) untuk membantu pengurusan sekolah di bawah kementerian itu termasuk sekolah swasta, akademi dan agama, sekolah antarabangsa dan sekolah ekspatriat yang berdaftar.

Beliau berkata, garis panduan itu menjelaskan langkah-langkah mengawal penularan penyakit Covid-19, termasuk mengendalikan warga sekolah, yang terbabit dengan perjalanan ke negara-negara yang dikategorikan sebagai negara berisiko tinggi.

"Warga sekolah diminta untuk sentiasa melayari laman web KKM untuk mendapatkan perkembangan terkini jangkitan penyakit ini serta mendapatkan senarai terkini negara terjejas dengan wabak Covid-19 sebagai langkah berjaga-jaga," katanya.

Ditanya mengenai perkembangan terkini isu perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu ialah kluster baharu, beliau berkata, proses siasatan masih berjalan untuk mengenal pasti kontak rapat dan peserta yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

"Mengambil kira keadaan semasa, saya ingin menegaskan agar orang awam yang terlibat dengan perhimpunan ini diminta untuk memberi kerjasama dan mematuhi nasihat yang telah diberikan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) demi memastikan tiada penularan jangkitan Covid-19 dalam masyarakat umum.

"KKM juga telah memaklumkan mengenai kejadian jangkitan Covid-19, yang melibatkan perhimpunan ini kepada International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP), negara-negara yang mempunyai peserta menghadiri majlis ini," katanya. - Bernama