Dua kes baharu Singapura ada kaitan himpunan tabligh di Malaysia

Foto: 123RF
Foto: 123RF
A
A
A

SINGAPURA - Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura telah mengesahkan sembilan lagi kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di republik itu, dan dua daripadanya dikaitkan dengan perhimpunan tabligh di sebuah masjid Malaysia.

Menurut kenyataan MOH hari ini, kes itu membabitkan dua lelaki rakyat Singapura berusia 29 dan 48 tahun yang menghadiri perhimpunan itu.

Katanya, kedua-duanya disahkan dijangkiti Covid-19 pagi ini dan ditempatkan di bilik isolasi Pusat Kebangsaan Penyakit Berjangkit di sini.

Berdasarkan perkembangan baharu itu, jumlah keseluruhan kes Covid-19 di republik itu setakat ini ialah 187.

Terdahulu, di KUALA LUMPUR, Kementerian Kesihatan telah mengesahkan bahawa seorang rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 di perhimpunan masjid di ibu negara Malaysia itu.

Mengulas langkah Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan penularan Covid-19 sebagai pandemik global pada 11 Mac, MOH berkata, Singapura telah membuat perancangan untuk masa depan dan secara progresif telah menyediakan beberapa kaedah sebagai persediaan bagi menghadapi kemungkinan situasi semakin memburuk sama ada di dalam atau luar negara.

“Situasi di Singapura masih terkawal dan kami tidak mengubah tahap DORSCON (Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit),” menurut kenyataan itu.

Singapura telah meningkatkan tahap DORSCON kepada Jingga daripada Kuning pada 7 Februari.

Artikel Berkaitan:

Tahap-tahap dalam DORSCON ialah Hijau, Kuning, Jingga dan Merah dengan Hijau merupakan amaran paling rendah manakala Merah yang tertinggi.

Setakat ini, kementerian itu berkata, sejumlah 96 kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar hospital.

Daripada 91 kes yang telah disahkan dan masih dirawat di hospital, kebanyakannya adalah stabil atau semakin pulih, manakala sembilan berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kenyataan itu.

Sehingga tengah hari, MOH mengenal pasti sejumlah 4,550 kontak rapat yang telah dikuarantin. - Bernama