Covid-19: Sembilan kes baharu positif dilaporkan hari ini

 Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Sembilan kes baharu disahkan positif koronavirus (Covid-19) dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini sebanyak 158 kes.

Daripada jumlah tersebut, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 26 kes dikesan melibatkan pesakit dalam siasatan (PUI).

Menurutnya, sebanyak 127 kes lagi dalam kalangan kontak rapat.

"Dua kes dalam kalangan severe acute respiratory infection (SARI) dan satu kes dalam kalangan influenza-like-illness (ILI) melalui survelan Covid-19.

"Dua lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada hari ini, Dr Noor Hisham berkata, terdapat enam kes pulih dengan negatif Covid-19 sebanyak dua kali berturut-turut sebelum dibenarkan pulang.

Dengan jumlah baharu discaj itu menurutnya, menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dan discaj daripada wad adalah sebanyak 32 kes.

"Pada masa ini terdapat tiga kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan mereka dalam keadaan stabil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum kenyataan Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) bertarikh 11 Mac 2020 mengenai situasi terkini Covid-19 di peringkat global yang melibatkan 114 negara.

Dr Noor Hisham berkata, pihak WHO mengisytiharkan kejadian Covid-19 sebagai pandemik dengan mengambil kira terdapat peningkatan kes yang ketara di negara selain Republik Rakyat China.

Menurutnya, KKM akan terus memastikan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan Covid-19 yang dijalankan dikaji mengikut situasi semasa di negara ini serta akan dipertingkatkan.

Berhubung kenyataan akhbar berkaitan perhimpunan tabligh di Masjid

Seri Petaling, Selangor pada 27 Februari hingga 3 Mac lalu, mereka yang menghadiri atau yang terlibat dalam perhimpunan itu diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk penilaian risiko jangkitan Covid-19.

"Tindakan selanjutnya oleh PKD iaitu diambil sampel klinikal jika didapati berisiko tinggi mendapat jangkitan atau sekiranya bergejala jangkitan saluran pernafasan," katanya.

Beliau berkata, KKM turut memaklumkan mengenai kejadian jangkitan Covid-19 yang melibatkan perhimpunan itu kepada International Health Regulations (IHR) Focal Point (FP) negara yang mempunyai peserta hadir ke majlis tersebut.

Menurutnya, orang awam juga diminta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan jangkitan Covid-19 yang melibatkan perhimpunan tabligh demi menjaga keharmonian umum.