Wanita pandu Kancil masuk 'airport' pernah dapat rawatan mental

Laporan yang disiarkan Sinar Harian tentang kejadian itu.
Laporan yang disiarkan Sinar Harian tentang kejadian itu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang wanita yang menimbulkan suasana panik kerana memandu kereta ke balai pelepasan di tingkat satu Lapangan Terbang Sultan Mahmud semalam, dilaporkan pernah mendapatkan rawatan psikiatri.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, hasil siasatan yang dijalankan, wanita berusia 55 tahun itu pernah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada 2012.

"Kita menerima maklumat daripada pihak keselamatan LTSM kira-kira jam 4.30 petang semalam yang memaklumkan kereta Perodua Kancil dipandu wanita itu masuk ke dalam bangunan, berhampiran kaunter daftar masuk.

"Bagaimanapun dia berhenti dan berjaya dipujuk, sebelum diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, ketika disoal siasat wanita itu memberitahu tidak sedar apa yang berlaku dan tidak tahu bagaimana boleh mamasuki kawasan berkenaan.

"Selepas selesai ambil keterangan, dia dibebaskan dengan jaminan polis dan diserahkan kepada HSNZ untuk tujuan pemeriksaan.

Katanya, polis kini dalam proses melengkapkan kertas siasatan sebelum merujuk kes berkenaan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini menyiarkan tentang wanita berkenaan yang memandu seorang diri masuk ke balai pelepasan melalui pintu cermin automatik berhampiran kaunter daftar masuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Cemas Kancil masuk 'airport' di Kuala Terengganu