Tiada keperluan bubar DUN Kedah: Mukhriz

Mukhriz ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan IPT dan sumbangan khairat kematian kepada penerima DUN Jitra di Pusat Khidmat Dun Jitra hari ini.
Mukhriz ketika berucap pada majlis penyampaian bantuan IPT dan sumbangan khairat kematian kepada penerima DUN Jitra di Pusat Khidmat Dun Jitra hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada keperluan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah buat masa ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, ini kerana kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengekalkan status quo sedia ada, termasuk sokongan pihak pembangkang di negeri ini.

Menurutnya, semua parti termasuk pembangkang di Kedah mencapai kata sepakat untuk mengekalkan kerajaan negeri sedia ada, sehingga penggal berakhir.

“Pembubaran DUN Kedah hanya akan berlaku sekiranya Menteri Besar persembahkan kepada Sultan Kedah untuk perkenan.

"Namun buat masa ini, saya tak melihat perlunya bubarkan DUN, bermakna kekal seperti sedia ada,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan bantuan IPT dan sumbangan khairat kematian kepada penerima DUN Jitra di Pusat Khidmat DUN Jitra hari ini.

Mukhriz berkata, persidangan DUN Kedah yang dijadual diadakan pada 23 Mac ini akan berlangsung seperti dirancang.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, UMNO Kedah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku pembubaran DUN Kedah secara mengejut dan menyaksikan perubahan tampuk pentadbiran kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, politik di Kedah lebih bersifat pragmatik berbanding politik di peringkat Persekutuan, malah beliau telah mengadakan perjumpaan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas bagi membincangkan status politik di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Mukhriz (kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kepada penerima yang layak di Pusat Khidmat Dun Jitra hari ini.
Mukhriz (kiri) menyerahkan sumbangan bantuan kepada penerima yang layak di Pusat Khidmat Dun Jitra hari ini.

“Seperti disebut Ketua Pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, kita capai kata sepakat di Kedah berhubung status quo, bermakna tiada perubahan walaupun Bersatu di peringkat nasional keluar PH.

"Kita mahu kekalkan kerajaan sedia ada kerana itulah kerajaan yang dipilih rakyat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya perlu untuk perubahan tampuk pentadbiran, semua pihak sepakat untuk menunggu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana rakyat perlu diberikan hak membuat pilihan.

Mukhriz berkata, hasil perbincangan juga menyaksikan keputusan Pas Kedah itu mendapat restu daripada kepimpinan Pas Pusat.

“Kita dah bincang hingga ke peringkat tertinggi parti. Saya dimaklumkan, tiada perbezaan antara pendirian Pas Kedah dan Pas Pusat, di mana Pas Kedah tidak gopoh untuk ambil tindakan mengubah kerajaan negeri, maksudnya kerajaan negeri yang ada kekal,” katanya.

Mengulas kenyataan Muhammad Sanusi kemungkinan beberapa ADUN PH dan Bersatu mengubah pendirian menyokong pembentukan kerajaan baharu bawah Perikatan Nasional, Mukhriz yakin ia tidak akan berlaku.

“Beri sokongan atau tidak, yang penting masih status quo dan keadaan politik tenang,” katanya.

Semalam, Muhammad Sanusi mendakwa perubahan terhadap pentadbiran kerajaan negeri bakal berlaku dalam minggu ini sekiranya tiga ADUN Kedah dijangka beralih sokongan.