Mukhriz nafi kedudukan beliau ibarat ‘telur di hujung tanduk’

 Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menafikan kedudukan beliau ibarat ‘telur di hujung tanduk’ selepas pembentukan Kabinet Perikatan Nasional di peringkat Persekutuan, susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Beliau bagaimanapun memberitahu keadaan di Kedah masih terkawal berbeza dengan negeri-negeri lain.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, kemelut politik yang berlaku di peringkat Persekutuan tidak semestinya menjejaskan suasana politik negeri terutama di Kedah.

“Kami di Kedah ada cara tersendiri untuk mengurus keadaan, kita di sini sebenarnya menjaga hubungan dengan semua pihak, termasuklah pihak pembangkang.

"Bermakna di Kedah, tidak semestinya mengikut arus yang berlaku di peringkat nasional,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan institusi pengajian tinggi dan sumbangan khairat kematian kepada penerima Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra di Pusat Khidmat Dun Jitra di sini hari ini.

Mukhriz berkata, pihaknya percaya semua pihak di negeri ini mahukan suasana politik yang tenteram agar pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Kita mahu kerajaan negeri boleh terus berkhidmat untuk rakyat manakala peranan pembangkang itu masih wujud sebagai penyemak dan pengimbang,” katanya.

Menurutnya, atas pendirian itu, pihaknya yakin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH mahupun Bersatu tidak akan mengubah sokongan atau lompat kepada blok pembangkang dalam usaha menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Artikel Berkaitan:

“Saya ingat tiada usaha untuk jatuhkan kerajaan sedia ada dan tubuhkan kerajaan yang baharu. Saya juga sudah perjelaskan situasi sebenar kepada Dr Mahathir,” katanya.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui nasib anaknya, Mukhriz yang juga Menteri Besar Kedah, diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ selepas terbentuknya Perikatan Nasional.

Dr Mahathir dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Yayasan Kepimpinan Perdana semalam menegaskan, 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas boleh bertindak mengikut Pas Pusat selari dengan pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Ia susulan kerajaan Kedah yang dipimpin PH dan Bersatu diramal akan tumbang seperti Johor, Melaka dan Perak selepas terbentuknya kerajaan Perikatan Nasional.