Enam pemimpin PKR Pahang akan dipecat

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Enam pemimpin peringkat negeri dan cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Pahang akan dipecat berikutan tindakan mereka disifatkan sebagai 'pengkhianat' susulan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Enam individu itu ialah Ketua Cabang Paya Besar, Al Bakri Salim; Ketua Cabang Pekan, Jefri Jaafar Tukemin; Naib Ketua Cabang Bera, P Saravanan; Ketua Cabang Rompin, Rabidin Kasmawi; Ketua Cabang Bentong, Dasimah Zainuddin dan anggota Cabang Rompin, Sitarunisah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Keadilan Negeri (MPN) Pahang, Fuziah Salleh berkata, laporan dan bukti mengenai salah laku enam pemimpin itu sudah dihantar kepada Lembaga Disiplin Keadilan untuk tindakan selanjutnya.

"Hasil siasatan kita dapati kesemua mereka telah terlibat dalam satu gerakan hasutan untuk mengkhianati parti.

"Mereka juga giat mempromosikan Perikatan Nasional kepada anggota-anggota akar umbi dengan maksud mengajak mereka menyertai Perikatan Nasional seterusnya meninggalkan PKR.

"Ada segelintir daripada mereka juga, kita lihat tanpa berselindung memburukkan kepimpinan parti sama ada pemimpin peringkat negeri mahupun peringkat Pusat dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjadi sasaran kecaman mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fuziah berkata, kesemua pemimpin terbabit didakwa dalang di sebalik usaha keluar parti beramai-ramai yang dirancang pada Ahad ini di sebuah hotel di daerah Bera.

Beliau berkata, teguran secara lisan telah diberikan, namun mereka masih berdegil dan masih meneruskan gerak kerja mencemarkan imej parti.

Artikel Berkaitan:

"Kita ada bukti kegiatan mereka iaitu melalui rakaman audio atau tangkap layar artikel mahupun status mereka di media sosial.

"Dari sudut moral dan etika, perbuatan mereka ini jelas salah dan ianya juga bertentangan dengan peraturan disiplin yang telah ditetapkan oleh parti," katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, MPN akan mengambil alih semua urusan pentadbiran setiap cabang terlibat sebaik sahaja keenam-enam pemimpin dipecat.