Dilema Mahathir (II)

A
A

KEMENANGAN Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya lalu meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam dilema kerana beliau adalah Perdana Menteri tanpa kekuatan pengaruh politik.

Mahathir sedar jika status quo pentadbiran hari ini kekal sehingga dua tahun lagi, Bersatu tidak akan bertahan lama tanpa sokongan majoriti orang Melayu.

Jika mahu menarik sokongan Melayu, Mahathir perlu menghulurkan talian persahabatan kepada Umno dan Pas. Ini akan meruntuhkan ego beliau. Sanggupkah Mahathir? Inilah yang dikatakan pepatah Melayu “lalu hangus, surut layu.”

Kegagalan menarik sokongan orang Melayu menjejaskan agenda Bersatu dan Mahathir. Mahathir tidak boleh melaksanakan apa-apa agenda beliau kerana partinya yang lemah dan bergantung kepada DAP.

Mahathir sedar suara orang Melayu dalam kerajaan sangat lemah. Bersatu hanya mempunyai 13 kerusi Parlimen dari 222 kerusi keseluruhan. Lemahnya suara Bersatu dalam kerajaan bermakna kedudukan beliau juga sangat lemah. Mahathir sendiri mengakui kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri adalah atas cadangan DAP.

Pada awal kemenangan PH dan pelantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri, ramai beranggapan orang Melayu dengan pantas dan segera akan menyeberangi jambatan dari Umno kepada Bersatu.

Andaiannya kerana terlalu lama menjadi kerajaan, orang Melayu dalam Umno tidak lagi boleh berada dalam pembangkang.

Malangnya penghijrahan tersebut tidak berlaku seperti dijangka. Sebahagian besar ahli dan pemimpin Umno tidak serapuh yang dijangka Mahathir.

Mengapa Bersatu gagal menarik sokongan orang Melayu secara besar-besaran seperti tanggapan awal? Saya fikir ada dua faktor utama iaitu Mahathir dan DAP.

Faktor Mahathir: Antara kesilapan terbesar Mahathir ialah beliau menyerang Umno secara keterlaluan selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Dari bermusuh dengan bekas Perdana Menteri Datuk Sri Mohd Najib Razak sahaja, Mahathir telah bermusuh dengan Umno secara keseluruhan.

Selepas menang dan menjadi Perdana Menteri, Mahathir mengulangi kata-kata kesat Umno sudah musnah, Umno parti rasuah dan melindungi kleptokrat. Ahli Umno dilemparkan pelbagai tuduhan yang sangat tidak bertimbang rasa dari seorang pemimpin yang pernah bersama parti itu selama berpuluh tahun.

Ini mengecilkan hati ramai ahli akar umbi Umno yang selama ini setia kepada parti dan perjuangan hasil didikan Mahathir juga. Selama 22 tahun Mahathir yang mengingatkan ahli Umno, pemimpin datang dan pergi, partilah tempat perjuangan.

Umno bukan sahaja dicerca dan dihina, malah dikenakan pelbagai tekanan undang-undang termasuk membeku akaun.

Mahathir melakukan ini semua dengan anggapan Melayu akan menyerah kalah dan menyertai Bersatu secara beramai-ramai.

Malangnya semua ini masih belum mengubah sokongan dan dukungan majoriti orang Melayu kepada Umno. Terbaharu Mahathir menyalahkan kerajaan dulu kerana kerap memanjakan orang Melayu dan Bumiputera melalui pelbagai pertolongan termasuk bantuan wang. Beliau berkata pertolongan itu “memerangkap” orang Melayu, menjadikan mereka malas dan ketinggalan.

“Kita tidak suka cara yang susah. Kita nak yang mudah. Kalau boleh kekayaan itu datang bergolek kepada kita dan apabila ia datang bergolek maka kita akan tunggu banyak lagi akan datang."

Mahathir dihentam kiri dan kanan oleh orang Melayu termasuk yang tidak berpartisan. Video-video mencabar idea kuno Mahathir di media sosial mendapat sambutan luar biasa. Seorang lelaki Inggeris yang memeluk Islam membuat satu video penjelasan “historical” yang sangat menarik menafikan dakwaan Melayu malas.

Walaupun menulis The Malay Dillema, Mahathir mungkin tidak sedar pemikiran dan psikologi orang Melayu sebenarnya. Buku Hikayat Pelayaran Abdullah (Munshi Abdullah) dan Malay Dilemma (Mahathir Mohamad) hanya mentafsir pemikiran Melayu melalui tabiat harian mereka.

Ini meninggalkan jurang penting dalam pengkajian pemikiran Melayu iatu kaedah komunikasi. Ini apa yang dikatakan oleh Marshall McLuhan bahawa “the medium is the message.” Dalam konteks pemikiran dan budaya, medium yang digunakan juga mempengaruhi pemikiran Melayu.

Mahathir bukan lagi atas pentas Umno untuk mengherdik Melayu. Orang Melayu melihat beliau kini di atas pentas DAP. Justeru “serangan” beliau ke atas orang Melayu sudah melalui tafsiran berlainan kepada majoriti masyarakat Melayu.

Hari ini kerana kritikan-kritikan keras terhadap orang Melayu dan Umno itu atas pentas yang salah maka sebahagian besar orang Melayu mengambil sikap “bersukat darah, bertimbang daging”.

Jika mahu menyatukan Melayu dan Muslim, Mahathir harus mengambil ingatan Sasterawan Negara, Dr Usman Awang, melalui puisi berjudul “Melayu”;

Watak Melayu menolak

permusuhan

Setia dan sabar tiada sempadan

Tapi jika marah tak nampak

telinga

Musuh dicari ke lubang cacing

Tak dapat tanduk

telinga dijinjing

Maruah dan agama

dihina jangan

Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu

indah sekali

Silaturahim hati yang murni

Maaf diungkap senantiasa

bersahut

Tangan diulur sentiasa

bersambut

Luka pun tidak lagi berparut

(Bersambung minggu hadapan)

* Penulis ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasionalis (Akar)


PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.