KDN tumpu usaha kukuh keselamatan sempadan negara

Hamzah. - Foto Bernama
Hamzah. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri akan menumpukan usaha untuk mengukuhkan keselamatan negara dengan memberi tumpuan di kawasan sempadan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ini berikutan kes-kes pencerobohan dilaporkan sering berlaku di lokasi berkenaan.

“Saya dimaklumkan pendekatan yang lebih serius akan diberikan kepada badan tunggal mengawal sempadan negara dan pintu masuk, termasuk pelabuhan (Single Border Agency),” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang Kementerian Dalam Negeri, di sini hari ini.

Hamzah berkata, tumpuan di kawasan berkenaan juga perlu diperkukuhkan melalui aset strategik dalam mengawal sempadan negara sama ada dari udara, laut dan darat, selain membantu menangani isu pendatang asing tanpa izin.

Sebelum ini, bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memaklumkan sebuah agensi sempadan akan diwujudkan bagi mengawal, memperkukuh serta mempertingkatkan piawaian pengoperasian dan keselamatan di sepanjang sempadan negara.

Muhyiddin yang kini Perdana Menteri memaklumkan cadangan mengenai penubuhan badan tunggal untuk mengawal pintu masuk negara itu telah diterima kerajaan yang menyarankan penubuhannya dilakukan secepat mungkin.

Muhyiddin berkata, ketika ini, pengurusan sempadan negara dikendalikan kira-kira 28 badan, pertubuhan, persatuan dan syarikat yang dilihat menjadi antara faktor kesesakan dan kelewatan dalam pengurusan hal ehwal sempadan negara.

Sementara itu, Hamzah dalam ucapannya mengingatkan semua pemimpin dan ketua agensi di Kementerian Dalam Negeri (KDN) agar sentiasa merendah diri.

Artikel Berkaitan:

“Pemimpin dan ketua agensi atau jabatan tidak seharusnya merasakan mereka ialah individu yang paling berkuasa dalam organisasi masing-masing, saya sendiri bukan orang yang paling berkuasa di KDN,” katanya.