Orang Melayu tidak percaya Anwar sebab tubuh parti liberal

Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
A
A
A

TANGGAL 1 Mac 2020, negara menyaksikan satu lagi detik bersejarah apabila tampuk pimpinan utama Malaysia bertukar tangan menyaksikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebelum itu, selama seminggu Tun Dr Mahathir Mohamad diberi kesempatan sebagai Perdana Menteri Interim dan sepanjang tempoh itu pelbagai spekulasi timbul mengenai calon atau pengganti kepada jawatan tersebut.

Apabila Muhyiddin diumumkan sebagai Perdana Menteri kelapan, timbul desas-desus mengatakan hubungannya dengan Dr Mahathir sedikit dingin susulan dakwaan dirinya adalah pengkhianat yang memulakan tindakan kerajaan ‘pintu belakang’.

Sinar Harian berkesempatan mengadakan pertemuan dan wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara.

Ikuti transkrip penuh wawancara bersama Dr Mahathir. Wawancara ini ialah interviu pertama Dr Mahathir dengan organisasi media selepas beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Ketujuh.

SINAR HARIAN: Apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada 23 Februari lalu, apakah sebenarnya perasaan Tun pada ketika itu?

DR MAHATHIR: Saya berasa kecewa sebab PH memberi kemenangan kepada kita dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan kleptokrat. Tiba-tiba orang yang dikalahkan dulu berjaya menjatuhkan PH dengan menggunakan parti saya, Bersatu. Kita tahu Bersatu masa itu sudah jadi besar sebab dicampur dengan kumpulan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) daripada PKR dan pihak lain.

Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - FOTO ASRIL ASWANDI
Wawancara eksklusif bersama ikon negarawan Dr Mahathir bagi merungkai persepsi dan dakwaan yang mengeruhkan dunia politik negara. - FOTO ASRIL ASWANDI

Sudah sampai kepada 39 orang ahli Parlimen parti Bersatu. Bila kita keluar, jatuhlah PH. PH ini bagi saya sokongan penuh. Jadi macam mana saya nak terima kita tikam mereka dari belakang. Tidak patut.

Artikel Berkaitan:

Saya sedar bahawa wujud kempen untuk kerajaan Melayu dan meletakkan saya sebagai duduk di bawah telunjuk Lim Guan Eng. Itu nampaknya diterima oleh ramai orang. Walhal sebenarnya Guan Eng terpaksa ikut saya dan banyak apa yang Guan Eng buat tidak menunjukkan bahawa dia begitu anti-Melayu.

Umpamanya, dia bagi RM400 juta secara one off kepada Kelantan, RM200 juta kepada Terengganu, RM200 juta kepada Kedah dan saya ingat dia juga bagi pada Perlis. Ini semua kawasan Melayu. Bukan di bawah PH tetapi dia bagi dan banyak lagi kita nak minta supaya diberi keutamaan kepada Melayu, dia bagi.

Bahkan dasar baharu yang Guan Eng perkenalkan, termasuk dalam Belanjawan 2020, semuanya diserahkan kepada saya untuk saya dan penasihat-penasihat saya semak kalau-kalau dia terlalu sangat memihak kepada DAP, kita tidak bersetuju. Kita betulkan tetapi takkan kita tidak bagi langsung.

Kalau kita bagi RM1 bilion kepada Melayu, pada orang Cina tidak boleh ke bagi RM100 juta atau satu per sepuluh. Tetapi nampak ramai juga daripada mereka yang semak berpendapat jangan bagi langsung pada orang Cina. Itu tidak boleh. Saya tidak boleh terima.

Sebab itu dalam (mesyuarat) Majlis Tertinggi Bersatu, pendapat saya ditolak oleh Setiausaha Politik saya dan saya kalah.

Setiausaha Politik Tun berbeza pandangan dengan Tun?

Ya. Dia berkempen untuk keluar daripada PH. Kita adakan kerajaan Melayu dan kempen ini menggunakan sentimen orang Melayu. Saya berpendapat, memang bagus kalau kita ada kerajaan Melayu tetapi kita kena jaga juga sumbangan yang dibuat oleh orang Cina.

Tetapi dia (Setiausaha Politik) ada masalah dengan mahkamah. Jadi dia minta saya suruh tahan mahkamah daripada bicara kes dia. Itu tidak boleh dan saya tidak boleh buat. Jadi dia begitu bermusuh dengan saya.

Bilakah Tun sedar wujud kempen tukar kerajaan daripada Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional?

Gerakan tukar kerajaan bermula apabila PH menang Pilihan Raya Umum (PRU-14) lalu. Waktu itu, Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) cuba membentuk kerajaan Melayu untuk menolak kemenangan PH.

Dia cuba kerjasama dengan Pas tetapi dia perlu lebih banyak sokongan daripada orang Melayu. Namun, sokongan tidak cukup, maka dia terpaksa mengaku kalah. Jadi Pakatan Harapan menang.

Sejak itu dia berusaha berkempen untuk menunjukkan bahawa PH ini dikuasai oleh DAP. Sebab itu dia terpaksa memburukkan saya. Ia berlarutan dan disambut. Kita dapati orang yang dituduh kleptokrat ini, ada orang yang lupa kesalahan dia dahulu.

Sampai kepada tahap cium tangan. Jadi saya hairan kenapa dia begitu disambut walhal dialah orang yang merosakkan parti UMNO dan Melayu. Lama-kelamaan ada juga orang dalam Bersatu tertarik dengan idea untuk menyingkirkan DAP dengan menjatuhkan kerajaan PH.

Dikatakan keretakan Pakatan Harapan ini berpunca daripada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan pada 21 Februari lalu. Itukah kemuncaknya?

Dalam Bersatu terdapat ramai yang mahu kita bergabung dengan UMNO.

Saya sanggup tetapi bukan dengan UMNO. Orang UMNO nak masuk (Bersatu) boleh tetapi ada orang yang berpendapat bahawa saya tidak kuat. Jadi mereka nak kita jatuhkan PH dan kita bercantum dengan UMNO. Oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua belah pihak, saya tidak boleh nak tolak. Apa salah dia (PH)? Dia sokong saya. Jadi saya kata kita tunggu sekejap. Kita tengok. Satu hari nanti saya akan letak jawatan. Lepas itu nak lawan, lawanlah.

Bagaimanapun, pendapat saya itu ditolak. Dimulai oleh Muhyiddin, penyokong-penyokongnya terutama Setiausaha Politik saya yang ada masalah di mahkamah. Dia tepuk meja dan kata kita keluar daripada PH dan mendapat sambutan yang banyak.

Akhirnya saya dapati Majlis Tertinggi Bersatu menolak saya. Jadi bila saya kalah dan balik (ke rumah), fikir-fikir, sudah nampak saya hilang sokongan daripada parti saya. Oleh itu saya tidak boleh kekal sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi parti. Itulah sebabnya yang saya letak jawatan. Saya didesak oleh parti sendiri.

Ada desas-desus kata Tun letak jawatan disebabkan Pakatan Harapan mahu menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Betulkah begitu?

Isu itu terjadi pada waktu lain. Mula-mula bila saya letak jawatan, kita tiada kerajaan, tiada Perdana Menteri. Saya dilantik sebagai Perdana Menteri Interim. Pada masa itu saya letak jawatan disebabkan pendapat Majlis Tertinggi Bersatu.

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama

PH pula memilih Anwar, tidak pilih saya. Dengan itu, sepatutnya saya dapat majoriti tetapi saya (hanya) dapat 60 undi, Anwar pula dapat 92 undi daripada PH. Sepatutnya PH bagi undi kepada saya. Kalau saya dapat 92 undi, dicampur dengan 60 undi, saya akan dapat lebih 150 undi.

Saya akan menang tetapi kerana PH calonkan Anwar, jadi saya gagal. Saya tidak dapat sokongan daripada sesetengah wakil rakyat. Itulah sebab saya berasa kecewa dengan PH kerana mereka menyatakan sokongan kepada saya 100 peratus tetapi bila waktu pemilihan (sewaktu ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong), mereka menyokong Anwar.

Banyak pihak menyatakan yang menggulingkan Pakatan Harapan itu adalah Tun sendiri sebab Tun letak jawatan. Perlukah Tun letak jawatan?

Saya letak jawatan sebab parti saya tolak saya. Tolak pendapat saya. Dalam Majlis Tertinggi (Bersatu), saya minta tangguh.

Jangan buat keputusan lagi. Bagaimanapun, mereka buat keputusan keluar daripada PH dengan kesedaran bahawa kalau kita keluar PH, kerajaan akan jatuh. Jadi kita buat keputusan seperti itu iaitu tidak sokong saya. Macam mana saya nak kekal sebagai Pengerusi. Sebab itu saya fikir jalan terbaik adalah letak jawatan. Macam undi tidak percayalah.

Difahamkan selepas Pakatan Harapan mencalonkan Anwar, kemudian banyak kumpulan tidak berpuas hati dan kumpulan-kumpulan Presiden parti Pakatan Harapan jumpa Tun pula untuk mengajak Tun menjadi Perdana Menteri semula dan semua bersetuju. Tetapi pada ketika itu berlaku sedikit suasana dingin apabila Tun menjelaskan Anwar tidak layak menjadi Perdana Menteri sebab orang Melayu tidak suka. Benarkah?

Belum sampai ke tahap itu lagi. Bila mereka dapati Anwar tidak menang, anggapan mereka bahawa Anwar (boleh) dapat undi yang terbanyak tidak jadi kenyataan. Mereka sedar bahawa menyokong Anwar tidak memberi kejayaan kepada mereka. Dengan itu mereka balik untuk sokong saya.

Mereka datang jumpa saya dan nyatakan sokongan kepada saya dan nak pulihkan balik parti. Pada masa itu Anwar minta supaya dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya tidak bersetuju kerana saya tahu sokongan kepadanya tidak begitu besar seperti dipercayai oleh orang tertentu, (dan) oleh dia sendiri. Sebab itu saya kata kalau masuk dia di situ (jawatan Timbalan Perdana Menteri), saya akan rugi. Banyak undi tidak akan datang kepada saya sebab saya ada dia.

Jadi dalam isu ini, dua orang yang tidak disukai ialah Anwar dan Lim Guan Eng. Anwar ini ditolak bulat-bulat terutama daripada Pas. Ramai juga daripada Bersatu tidak boleh terima dia terutama Azmin yang masuk parti Bersatu... dia tidak boleh menerima Anwar sama sekali.

Jadi jika Anwar ada di situ, (sebagai) calon Perdana Menteri, kita tidak boleh menang. Sebab itu saya kata tak perlu. Kita bagi menang dahulu lepas itu nak pilih, pilihlah. Tetapi kita belum menang, benda yang orang tidak suka, kita tidak boleh menang.

Kenapa Anwar tidak boleh diterima oleh parti-parti Melayu?

Kerana ia ternampak oleh orang Melayu sebagai orang yang liberal. Dia ini yang bercakap tentang multiracialism, liberalisme. Kalau kita toleh ke belakang, bila dia terkeluar daripada UMNO ketika saya menjadi Perdana Menteri (pada tahun 1998), dia cuba tubuh sebuah parti menentang saya.

Dulu sebelum ini Ku Li (Tengku Razaleigh Hamzah) keluar parti dan tubuh parti Semangat 46. Tetapi itu parti Melayu. Anwar keluar-keluar dia buat parti liberal. Dia nak dapat sokongan daripada DAP maka dia ajak DAP masuk, Pas masuk. Falsafah dia liberal. Orang Melayu belum boleh terima liberalisme. Sebab mereka (Melayu) takut kedudukan mereka terancam. Mereka hanya ada kuasa politik. Kuasa ekonomi tiada. Jadi kalau kuasa politik ini tidak lagi mendokong konsep kemelayuan sebaliknya konsep liberal, mereka tolak.

Lepas itu, mereka yang tuduh saya buat aniaya terhadap Anwar, iaitu penyokong kuatnya, datang jumpa saya setelah saya letak jawatan. Mereka minta jangan ambil Anwar.

Jadi pandangan orang sudah bertukar terhadap Anwar. Bila dia keluar (dibebaskan dan diberi pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada 16 Mei 2018) dia aktif. Jumpa raja-raja, jumpa dengan semua orang, untuk nak jadi popular. Tetapi budak-budak dia kecam saya, suruh saya berhenti.

Ini turut berlaku terhadap Anwar. Banyak orang Bersatu juga tidak suka dengan dia.

Itu persepsi pemimpin Melayu dalam parti-parti Melayu tetapi apa persepsi Tun terhadap Anwar, adakah begitu?

Saya menghadapi masalah dengan Anwar. Saya mengaku. Semasa saya menjadi Presiden UMNO, Anwar tersingkir dan dia kena hukuman penjara. Bila kita nak lawan dan nak jatuhkan Najib, saya berpendapat bahawa antara Najib dengan Anwar, saya rasakan Najib lebih bahaya. Jadi saya sanggup rujuk kembali dengan Anwar, bahkan saya turut bekerjasama dengan DAP. Kalau tidak kita tidak boleh kalahkan Barisan Nasional (pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei 2018).

Jadi ini strategi. Saya kena berbaik-baik dengan Anwar. Tetapi apabila dia dilepaskan daripada penjara, bila saya naik sebagai Perdana Menteri, dia pergi merata tempat tidak seperti pemimpin lain. Pemimpin lain ada dalam PH, ada dalam parti, mereka tidak aktif tetapi daripada budak-budak dia, Rafizi (Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli) kecam saya. Bila jumpa dengan Anwar, Anwar marah kepada mereka tetapi mereka terus juga kecam saya. Ramai yang kata kepada saya, ini adalah kerja Anwar. Tidak tahulah betul atau tidak betul.

Tetapi (pada) masa dia (kata) sokong saya, orang dia semua hentam saya suruh saya letak jawatan pada bulan Mei (2020). Suruh saya tetapkan tarikh. Macam-macam lagi. Ada yang kata suruh saya berhenti. Bagaimanapun, saya masih bersama dengan dia tetapi bila sampai kepada tahap PH tolak saya dan bagi (sokongan) kepada Anwar, dengan kerana itulah saya kalah.

Adakah Tun akan bantu Datuk Seri Anwar sekali lagi bagi membolehkan dia menjadi Perdana Menteri?

Saya waktu ini tidak boleh membuat pilihan apa-apa. Tetapi yang saya tahu ialah ramai orang yang tidak senang hati dengan Datuk Seri Anwar.

Saya sudah berjanji akan meletak jawatan dan dia akan cuba dapat tempatlah selepas itu. Tetapi, sebelum itu ramai penyokong kuat dia datang jumpa saya minta supaya janganlah bagi Anwar jadi Perdana Menteri.

Jadi saya tahu populariti dia sudah berkurangan dalam kalangan orang yang dahulu sokong dia bermati-matian. Mereka ini yang datang. Jadi sudah tentu mereka membuat penilaian semula tentang Anwar. Saya tidak percaya Anwar akan mendapat sokongan kalau ada pilihan raya.