Saifuddin ikrar dukung kebebasan media, tidak kompromi berita palsu

A
A
A

PUTRAJAYA- Menteri Komunikasi dan Multimedia yang baharu, Datuk Saifuddin Abdullah berikrar akan mendukung kebebasan media dan tidak akan berkompromi dengan berita palsu.

"Saya masih Saifuddin yang sama yang mendukung kebebasan, demokrasi, hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang.

“Saya tetap berpegang dengan prinsip saya ini. Walaupun kami mendukung kebebasan (media), kami tidak boleh berkompromi dengan berita palsu,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pertamanya sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Suriani Ahmad.

Saifuddin berkata, beliau akan meneliti Akta Antiberita Tidak Benar yang telah dimansuhkan oleh Dewan Negara pada Disember tahun lepas.

“Saya faham ada undang-undang antiberita tidak benar dan pemansuhannya. Adalah tidak adil jika saya buat sebarang pengumuman spesifik tentang bagaimana kami akan mengendalikannya kerana ia melibatkan kementerian lain juga dan ini pastinya sesuatu yang saya akan beri perhatian,” katanya.

Ditanya mengenai kesinambungan projek-projek utama di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) termasuk Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dan pelaksanaan 5G, Saifuddin memberi jaminan bahawa semua inisiatif baik akan diteruskan walaupun berlaku perubahan kerajaan.

“Ia akan diteruskan. Kami perlu mesra perniagaan, kami perlu memainkan peranan untuk permudahkan industri telekomunikasi. Apa sahaja yang baik yang telah dilaksanakan di masa lepas, dan sehingga atau kecuali terdapat isu serius, saya fikir ia patut diteruskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Berhubung RM3 bilion diperuntukkan untuk NFCP yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 pada 27 Februari, Saifuddin berkata, peruntukan itu kekal buat masa ini dan rancangan untuk pelaksanaannya masih berada di landasan.

“Tetapi Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) ada sebut semalam bahawa mereka sedang cuba untuk semak semula (pakej) dengan pandangan untuk memasukkan beberapa tambahan. Jadi walaupun kami mahu melaksanakannya secepat mungkin, kami akan berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk melihat apa situasinya. Jika kami (KKMM) tidak termasuk dalam pakej rangsangan yang disemak semula itu, dengan itu kami akan laksanakannya secepat mungkin," katanya.

Saifuddin berkata, beliau teruja menjadi sebahagian daripada KKMM dan berhasrat untuk menganjurkan simposium `Silicon Valley Comes To Malaysia’ pada tahun ini.

Pada 2011, ketika Saifuddin menjadi Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, beliau terlibat secara aktif dalam bidang keusahawanan dengan mempromosikan simposium `Silicon Valley Comes To Malaysia’ dan syarikat pemula niaga.

Ditanya sama ada idea untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia akan diteruskan, Saifuddin berkata:

"Itu saya akan dapatkan taklimat penuh dan melihat tentang sejauh mana kemajuan dan apakah langkah paling sesuai berikutnya".-Bernama