X

Kindly register in order to view this article
!

Rina teruskan dasar bermanfaat untuk rakyat

Rina (lima dari kiri) bersama kakitangan JKM Daerah Sepang selepas mengadakan lawatan mengejut ke jabatan itu hari ini.
A
A

SEPANG - Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Harun akan meneruskan dasar kerajaan sebelum ini di kementeriannya sekiranya terbukti cadangan itu memberikan manfaat kepada rakyat.

Rina berkata, pihaknya kini berada di fasa pengumpulan maklumat bagi peringkat daerah dan pengurusan sebelum merumuskan hala tuju dasar yang mahu dibawa.

Menurutnya, pihaknya memerlukan masa untuk membuat penelitian sebelum sebarang dasar diperkenal atau diteruskan di bawah kementerian yang baru diterajuinya itu.

"Beri saya peluang untuk bersama mereka dulu. Saya kena lihat semula dasar terdahulu, jika ia memberi manfaat kepada rakyat sudah pasti kita teruskan.

"Penting sekarang ini, rakyat nak tengok apa yang mereka dapat," katanya selepas membuat pemeriksaan mengejut di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang hari ini.

Rina menurunkan tandatangan di buku pelawat JKM Daerah Sepang hari ini.
Rina menurunkan tandatangan di buku pelawat JKM Daerah Sepang hari ini.

Beliau tiba di bangunan JKM Daerah Sepang di IKS Sirim Bandar Baru Salak Tinggi pada jam 8.30 pagi dan mengambil masa hampir satu jam meninjau fasiliti serta perkhidmatan disediakan di jabatan tersebut.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, banyak perkara perlu diberi perhatian selepas mendengar pendapat dan pandangan di peringkat akar umbi.

"Banyak perbezaan semasa saya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dengan Kementerian Wanita dan Keluarga, namun penekanan aspek sosioekonomi serta modal insan boleh diberi perhatian.

"JKM ada skim sokongan dan bantuan namun kita harap rakyat yang menerima bantuan ini satu hari nanti boleh keluar dari kepompong kemiskinan dan hidup berdikari. Jika dia penerima bantuan, saya harap satu hari nanti dia pula akan jadi penyumbang bantuan," katanya.

Menurutnya, pejabat JKM berkenaan baru beroperasi di lokasi baharu itu tiga minggu lalu, di bangunan yang luas dan selesa.

"Dengan kemudahan ini diharap mampu memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat. Cuma aspek lokasinya perlu dilihat semula kerana saya mahu pejabat ini mudah diakses serta mesra pengguna bagi memudahkan mereka yang datang berurusan," katanya.

Rina (kanan) mendapatkan maklumat perkhidmatan JKM daeripada kakitangan yang bertugas di kaunter perkhidmatan JKM Sepang pagi ini.
Rina (kanan) mendapatkan maklumat perkhidmatan JKM daeripada kakitangan yang bertugas di kaunter perkhidmatan JKM Sepang pagi ini.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!