KPDNHEP tambah baik dasar kerajaan terdahulu

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi kelihatan bergurau dengan mengetuk pintu pejabatnya pada hari pertamanya beliau hadir memulakan tugas sebagai Menteri terbabit di Kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Alexander Nanta Linggi kelihatan bergurau dengan mengetuk pintu pejabatnya pada hari pertamanya beliau hadir memulakan tugas sebagai Menteri terbabit di Kementeriannya hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meneruskan dasar dan strategi sedia ada yang baik oleh kerajaan terdahulu dan menambah baik aspek yang perlu, kata Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Bercakap kepada media pada hari pertama bertugas di KPDNHEP, di sini hari ini, beliau berkata, sememangnya masih terdapat ruang dan peluang untuk penambahbaikan kepada strategi atau dasar yang boleh mensejahterakan rakyat memandangkan keutamaan kementerian adalah rakyat.

"Jadi kita sepatutnya buat dasar yang boleh membantu meringankan beban rakyat dan juga mereka yang terlibat dalam perdagangan dalam negeri," katanya.

Terdahulu, Nanta dan timbalannya, Datuk Rosol Wahid menerima sambutan rasmi daripada warga KPDNHEP dan mengetip kad perakam waktu sebagai tanda memulakan tugas di kementerian itu.

Mengenai kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bahawa setiap kementerian dan jabatan akan mengemukakan cadangan yang akan menjadi keutamaan memandangkan kerajaan tiada manifesto, Nanta berkata: "Kami pasti akan melakukan yang terbaik sama ada dengan manifesto atau tanpa manifesto, kami masih perlu memainkan peranan kami."

Ditanya mengenai saranan pengusaha petrol supaya kerajaan menetapkan harga lantai petrol dan diesel disebabkan perang harga dunia, Nanta berkata, kementerian akan mengkaji cadangan itu.

"Kami perlu mendengar daripada semua pihak dan memastikan percambahan idea dilakukan dan jika ia baik maka kami akan mencadangkannya kepada kerajaan," katanya.

Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM) sebelum ini mencadangkan harga lantai untuk petrol dan diesel diperkenalkan memandangkan harga bahan api itu dijangka turun lagi berikutan perang harga minyak dunia.

Artikel Berkaitan:

Nanta berkata, kerajaan juga akan mengkaji Program Subsidi Petrol (PSP) yang diperkenalkan oleh kerajaan sebelum ini sama ada ia perlu diteruskan.

"Sesuatu yang telah sedia ada atau dicadangkan, jika saya yakin ia bagus, kenapa kita tidak melihatnya secara positif. Kita boleh meneruskannya jika ia baik untuk rakyat dan negara," katanya.-Bernama