27 ahli PKR dipecat, keluar parti: Nik Nazmi

Nik Nazmi Nik Ahmad
Nik Nazmi Nik Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR- Sehingga kini, sebanyak 27 ahli PKR telah dipecat atau keluar parti susulan isu politik yang menyebabkan pertukaran kerajaan, kata Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, mereka termasuk bekas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin yang dipecat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) 24 Februari lepas.

“Dua lagi anggota dibuang (daripada parti) pada mesyuarat MPP 1 Mac dan lain-lain anggota menerusi bukti yang dikumpul di media sosial, rakaman video, pengumuman media dan lain-lain lagi.

"Empat orang lagi anggota akan diproses pembuangan mereka daripada daftar keanggotaan parti dalam masa yang terdekat berdasarkan sumber-sumber bukti yang sama," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya PKR telah meluluskan 12,896 orang anggota baharu antara 1 Jan sehingga 11 Mac dengan negeri Perak mencatat permohonan anggota paling ramai iaitu 3,108, diikuti Selangor (2,352), Sarawak (1,559), Kedah (1,414) dan Johor (959).

Dalam kenyataan berasingan, Nik Nazmi berkata, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu bermesyuarat dan berbincang susulan beberapa kenyataan terkini oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tentang kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Pakatan Harapan yang terdiri daripada Keadilan (PKR), Amanah (Parti Amanah Negara) dan DAP perlu bermesyuarat dan berbincang bagi menyatakan pendirian Pakatan Harapan.

"Sebarang pandangan lain tidak mewakili pandangan Keadilan (PKR) dan Pakatan Harapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Nik Nazmi berkata, tumpuan harus diberikan terhadap agenda reformasi dan PH harus kembali kepada semangat yang dibawa Buku Harapan bagi mengangkat nasib rakyat.- Bernama