Kontraktor binaan maut ditembak jarak dekat

Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian di Flat MBPP, Jalan Patani, malam tadi.
Anggota polis melakukan siasatan di tempat kejadian di Flat MBPP, Jalan Patani, malam tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seorang kontraktor pembinaan maut selepas ditembak dari jarak dekat ketika sedang berbual dengan rakan-rakannya, malam tadi.

Mangsa, Mohammad Nazrulhisyam Mohamed Meera, 27 maut di tempat kejadian selepas ditembak lima das dari jarak kurang dari tiga meter.

Ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai 'Syam Sado' dikatakan sedang berbual dengan enam rakan termasuk bapa saudaranya, pada jam 11.30 malam tadi di parkir di bawah Flat Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di Jalan Patani di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kira-kira jam 12.07 tengah malam, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 yang dinaiki dua lelaki datang dari arah belakang lalu memberhentikan motosikal di belakang mangsa.

Menurutnya, salah seorang lelaki tersebut turun dari motosikal lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa yang berasal dari Lebuh Chulia itu.

"Tembakan terkena di bahagian kepala dan badan menyebabkan mangsa terbaring di lantai. Suspek masih melepaskan tembakan ke arah mangsa walaupun mangsa sudah terbaring.

"Kedua-dua suspek kemudiannya melarikan diri selepas kejadian terbabit. Menurut saksi, kedua-dua suspek berkulit gelap dan memakai pakaian serba hitam serta topi keledar berwarna hitam bertutup muka penuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Pulau Pinang pada jam 12.48 tengah malam.

Artikel Berkaitan:

"Pemeriksaan awal di tubuh mangsa mendapati terdapat lima kesan tembakan. Bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.