Negeri Sembilan tangguh sidang DUN

Zulkefly Mohamad
Zulkefly Mohamad
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan yang dijadualkan bersidang pada 30 Mac ini ditangguhkan pada 4 Mei depan.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Zulkefly Mohamad Omar berkata, penangguhan tersebut dilakukan bagi memberi masa kepada kerajaan negeri untuk menilai semula pengurusan kewangan berkaitan pembentangan bajet sebelum ia dibawa ke dalam sidang DUN.

“Kita mengambil kira perkembangan terbaru yang berlaku di peringkat pusat. Peralihan kuasa kepada pentadbiran kerajaan baru sekarang ini turut memberi kesan kepada perancangan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

"Oleh itu, kerajaan negeri perlu membuat semakan semula bagi urusan pembentangan bajet dan beberapa pindaan RUU (Rang Undang-Undang) juga akan diteliti semula sebelum dibentangkan pada sidang Dewan itu nanti.

"Tidak ada isu lain dan jangan buat sebarang andaian bukan-bukan. Kita tangguh bukan sebab ada masalah, sebaliknya perlu membuat semakan semula kerana apa yang dirancang sebelum ini adalah bersama pemerintah PH (Pakatan Harapan), tetapi apabila kerajaan Persekutuan bertukar, kita juga terkesan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sidang DUN yang sepatutnya bersidang bermula pada 30 Mac ini hingga 3 April ditunda ke 4 hingga 13 Mei depan.

Sementara itu, Naib Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk M Ravi berkata, kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri berkenaan menyatakan sokongan penuh kepada pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Katanya, isu lompat parti yang dimainkan oleh pihak tertentu tidak memberi kesan kepada pentadbiran kerajaan negeri memandangkan semua ADUN masih kekal bersama PH.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak akan jadi katak, lompat sana sini, semua ADUN di negeri ini setia dan menyokong penuh PH di bawah pentadbiran Menteri Besar.

“Saya sendiri menyokong penuh Anwar Ibrahim (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan apa yang berlaku dalam politik negara ini tidak akan memberi kesan kepada kerajaan Negeri Sembilan,” katanya yang juga ADUN Sri Tanjung.