Baiki hubungan Malaysia-India jangan sampai gadai prinsip: Mapim

Mohd Azmi Abdul Hamid
Mohd Azmi Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Hasrat kerajaan Perikatan Nasional untuk memperbaiki semula hubungan antara Malaysia dengan India perlu dilakukan berlandaskan prinsip dan kebenaran.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, hubungan baik yang mahu dijalin semula antara kedua-dua negara tidak harus menggadaikan prinsip keadilan dan kebenaran yang selama ini dihormati oleh dunia terhadap Malaysia.

Beliau berkata, Malaysia perlu bersikap berkawan dengan semua pihak, namun tidak harus melenturkan prinsipnya mempertahankan kebenaran bila berlaku ketidakadilan ke atas rakyat mana-mana negara terutama terhadap rakyat minoriti.

Menurutnya, pendirian Malaysia menolak penafian hak jutaan golongan minoriti Muslim dan kelompok minoriti yang lain di India, yang memberi implikasi besar kepada kestabilan rantau tidak harus berundur ke belakang.

Katanya, Malaysia harus berpendirian tegas dan adil dalam isu yang menyentuh pelbagai nasib golongan minoriti Muslim dan penganut agama minoriti yang lain serta isu penafian hak rakyat Kashmir oleh kerajaan India supaya Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diguna pakai untuk menyelesaikan konflik yang tercetus kini di Kashmir akibat tindakan India menzalimi rakyat Kashmir.

"Kami mengakui Malaysia adalah negara kecil, namun ini tidak bermakna kita harus bergantung kepada negara lain dalam usaha menjalin hubungan perdagangan.

"Jika hubungan rapat mahu dijalinkan dengan India yang dianggap kuasa besar ia tidak harus menggadai prinsip keadilan hanya kerana Malaysia mahu meningkatkan jualan minyak kelapa sawit kepada India," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyasarkan untuk menyelesaikan segera isu eksport kelapa sawit dengan India iaitu selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan mulai sekarang dan akan menghantar sepasukan delegasi ke negara itu secepat mungkin bagi menambah baik hubungan antara kedua-dua negara.

Artikel Berkaitan:

Eksport komoditi itu dilaporkan mengalami penurunan selepas jalinan di antara kedua-dua negara tegang susulan pertikaian politik yang dikaitkan dengan kritikan ke atas tindakan New Delhi di Kashmir serta undang-undang kewarganegaraan baharu.

Mohd Azmi menegaskan, hubungan Malaysia dengan mana-mana negara sekalipun demi mewujudkan perdagangan, tidak boleh mengenepikan keprihatinan nasib mereka yang dinafikan hak dan tidak menyatakan pendirian menyokong mereka yang tertindas.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia mahu selesai segera isu eksport kelapa sawit dengan India