Politik wang: Calon PH diminta beri penjelasan

Gambar yang tular mendapat perhatian ramai termasuklah beberapa pemimpin pembangkang yang mendesak agar SPR menyiasat sekiranya berlaku rasuah dalam PRK Cameron Highlands itu.
Gambar yang tular mendapat perhatian ramai termasuklah beberapa pemimpin pembangkang yang mendesak agar SPR menyiasat sekiranya berlaku rasuah dalam PRK Cameron Highlands itu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bersih akan mendapatkan keterangan daripada calon PH berhubung tular gambar wanita yang memakai baju berlogo parti itu sedang mengagihkan wang di Cameron Highlands.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, buat masa ini pihaknya tidak boleh mengeluarkan sebarang komen berhubung perkara itu.

"Kita akan minta calon PH beri keterangan sebelum komen.

"Kemungkinan mereka (wanita yang memakai baju berlogo PH) sedang beri elaun kepada sukarelawan tetapi (kita tidak pasti) tak pasti,"katanya ringkas kepada Sinar Harian, ketika dihubungi semalam.

Ditanya bila badan bukan kerajaan (NGO) itu akan mendapatkan maklum balas daripada calon PH, Thomas memberitahu ia akan dilakukan dalam masa terdekat.

Gambar yang mulai tular hari ini mendapat perhatian ramai termasuklah beberapa pemimpin daripada parti pembangkang yang turut mendesak agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyiasat sekiranya berlaku rasuah dalam PRK Cameron Highlands itu.

Berdasarkan gambar yang tersebar luas itu, wanita berkenaan dilihat sedang mengagihkan wang kepada beberapa individu yang turut memakai baju berlogo sama.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, bekas Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk C Sivarraajh, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Bung Moktar Radin dan beberapa lagi antara pemimpin politik pembangkang yang membuat gesaan itu melalui laman sosial masing-masing.

Artikel Berkaitan: