Kepentingan rakyat sentiasa dekat di hati Muhyiddin

Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Muhyiddin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - “Apa yang sebenarnya rakyat mahu mendengar”. Itulah ungkapan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet pertama di sini hari ini.

Pada sidang media yang dihadiri ramai, Muhyiddin, 72, yang mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu terus menyentuh apa yang akan dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya.

Beliau bermula dengan mengesahkan komitmen kerajaan baharu Perikatan Nasional untuk memerangi dan membasmi rasuah.

Kemudian, berhati-hati terhadap apa yang memerlukan perhatian segera, beliau mengumumkan rancangan untuk menangani cabaran ekonomi semasa dan situasi Covid-19.

“Terdapat keperluan mendesak mencari penyelesaian terhadap semua permasalahan yang dihadapi rakyat,” kata Muhyiddin selepas mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh kesemua 31 menteri yang mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Menegaskan bahawa tidak ada ruang untuk amalan rasuah dalam pentadbirannya, Perdana Menteri mengarahkan semua anggota Jemaah Menteri wajib mengisytiharkan harta dan mereka diberi tempoh sebulan untuk berbuat demikian.

Ini adalah selaras dengan apa yang dikatakan semasa ucapan sulung bertajuk ‘Rayuan Kepada Rakyat Malaysia’ yang disiarkan oleh stesen televisyen dan media sosial pada malam 2 Mac lalu, bahawa beliau sedar rakyat mahukan sebuah kerajaan yang bersih, bebas rasuah dan berintegriti.

Katanya, beliau amat sedar bahawa rakyat mahukan sebuah kerajaan yang prihatin dan cekap dalam menyelesaikan permasalahan rakyat.

Artikel Berkaitan:

Berlatar belakang keadaan ekonomi global yang mencabar dan kejatuhan harga minyak yang mendepani cabaran semasa negara, Muhyiddin hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Majlis berkenaan akan dianggotai Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Ahli lain EAC termasuk Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus dan beberapa individu yang mahir dalam pelbagai bidang.

Mengakui rakyat dibebankan lagi dengan masalah koronavirus (Covid-19) yang sudah berlarutan selama beberapa minggu, Muhyiddin melancarkan tabung khas Covid-19 dengan geran permulaan sebanyak RM1 juta bagi memberi bantuan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau tiada gaji sepanjang tempoh dikuarantin.

Orang awam juga boleh memberi sumbangan kepada tabung khas tersebut yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).

Rancangan dan langkah tersebut mencerminkan kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin akan menunaikan tanggungjawabnya dan sebuah kerajaan untuk semua rakyat Malaysia.

“Kerajaan ini mewakili semua bangsa. Kami akan berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia dan kami akan bersikap adil kepada semua rakyat,” katanya.

Membayangkan apa yang boleh diharapkan oleh rakyat, Muhyiddin berkata, kerajaan akan mengumumkan apa yang disifatkan sebagai tawaran baharu yang mudah dicapai untuk semua rakyat Malaysia selepas mendapat cadangan dari setiap kementerian dan jabatan.

Dalam menjalankan kewajipannya, Perdana Menteri berkata, kerajaan baharu memerlukan sokongan dan galakan daripada semua rakyat Malaysia bagi membolehkan kerajaan melakukan yang terbaik untuk semua.

Beliau turut bercakap mengenai cubaan untuk berbaik semula dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi surat dikirimkan kepada negarawan berusia 94 tahun itu.

Dalam surat tersebut, Muhyiddin berkata, beliau memohon maaf jika perkembangan politik negara baru-baru-baru ini telah menyinggung perasaan Dr Mahathir dan menyatakan hasrat bertemu dengan bekas perdana menteri itu untuk menyelesaikan sebarang isu demi kepentingan negara.

Beliau memberitahu pemberita bahawa beliau berharap Dr Mahathir akan menerima dan memberi sokongan kepada kerajaan baharu ini.

“Kami sudah membentuk kerajaan ini dan mahu Tun (Dr Mahathir) menyokong kerajaan ini. Ini adalah kerajaan untuk rakyat. Ia sah dan berperlembagaan,” katanya. - Bernama