Petani rugi tanaman ditenggelami air

A
A
A

KUALA LANGAT – Kira-kira 50 petani di Kampung Olak Lempit, di sini mengeluh kecewa apabila tanaman kontan yang diusahakan mereka musnah ditenggelami banjir kilat, bulan lalu.

Mereka mendakwa banjir sedalam 0.5 meter selama empat hari itu dipercayai akibat aktiviti perlombongan pasir di kawasan berhampiran.

Lebih menyedihkan, kejadian itu turut mengakibatkan kerugian kira-kira RM120,000.

Norsuzila Ahmad, 45, berkata, dia mengalami kerugian besar apabila tanaman keledek, keladi dan ubi kemili yang diusahakan musnah dalam sekelip mata.

Menurutnya, tanaman berkenaan hanya menunggu masa untuk dituai dan lebih mengecewakan apabila kesemuanya rosak dan tidak boleh dijual.

“Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu. Seolah-olah apa yang kami usahakan semalam sia-sia,” katanya ketika ditemui.

Norsuzila berkata, sebelum ini banjir kilat sering berlaku di kawasan berkenaan, namun tidak seteruk itu dan hanya berapa jam sahaja.

"Tapi kali ini air naik mendadak hingga paras lutut dan menenggelamkan tanaman. Akibatnya, semua musnah dalam banjir empat hari itu.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Norsuzila yang sudah sembilan tahun mengusahakan tanaman berkenaan berharap pihak berkaitan dapat membantu menyelesaikan masalah bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Terpaksa cari modal baru

Perkara sama turut berlaku kepada Jalaludin Salim, 56, yang sepatutnya boleh menuai hasil tanamannya Mei depan.

Bagaimanapun katanya, dia terpaksa mencari benih baharu untuk ditanam semula.

“Duit jualan itu sebenarnya boleh kami gunakan untuk belanja masa bulan puasa dan raya nanti. Tapi bila dah jadi macam ini, kami tak tahu mana nak cari duit belanja.

Jalaludin yang turut menjadi pembekal ubi dan keledek untuk kilang kerepek buntu kerana semua bekalan termasuk baja tanaman rosak dan tidak dapat diselamatkan.

"Memang setiap tahun kami bekalkan stok kepada mereka, tapi bila dah jadi macam ni, kami tak boleh nak buat apa-apa,” katanya sayu.

Menurutnya, kehidupan penduduk di kawasan itu banyak bergantung kepada hasil pertanian namun kejadian itu mengakibatkan modal mereka lebur tetapi tiada hasil dituai.

Dia mendakwa ada pihak yang mencadangkan pembinaan saliran tetapi tiada yang mampu kerana kos tinggi.

Sementara itu, Zulkarnain Abdul Hamid, 58, berkata, sebanyak 12 tan ubi kayunya yang hanya menunggu tempoh seminggu untuk dituai tenggelam dalam banjir.

“Memang langsung tak boleh diselamatkan. Semuanya busuk,” katanya yang turut mengusahakan tanaman nenas, dan sayur pucuk manis.

Menurutnya, kesemua petani itu tiada tempat mengadu dan berkongsi pandangan kerana belum ada ketua kampung.

“Kalau ada ketua kampung, senang nak rujuk dan minta pandangan. Tiada siapa nak dengar keluhan dan rintihan kami,” katanya.

Rumah turut dinaiki air

Dalam pada itu, penduduk, Azizul Baharom, 31, berkata, rumahnya bersama empat yang lain turut dinaiki air akibat banjir kilat berkenaan.

Azizul juga mendakwa, kejadian itu tidak berlaku sebelum ini dan hanya memenuhi parit sahaja.

“Banjir di halaman rumah separas lutut. Mujur tak masuk rumah. Kereta terpaksa diletakkan di tempat tinggi,” katanya.

Menurutnya, banjir kilat kali ini lambat surut.

Sementara itu, Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kuala Langat, Bohari Osman berkata, banjir kilat itu disebabkan limpahan air yang banyak ketika hujan lebat dan tidak dapat mengalir keluar ke Sungai Langat selain aktiviti perlombongan pasir di kawasan berhampiran.

Justeru, pihaknya bercadang membina penyelenggaraan pam air di Sungai Kuala Langat bagi membolehkan air dipam dari kawasan terjejas banjir.

“Namun ia bergantung sama ada cadangan itu diluluskan atau sebaliknya. Jika diluluskaan, projek menelan belanja RM6 juta itu mungkin akan dimulakan hujung tahun ini,” katanya.