Perjalanan Kelantan masih berliku

Kaimbi (kiri) diasak pemain Kelantan United, Aylton Ferreira Ananias dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. -Foto Bernama
Kaimbi (kiri) diasak pemain Kelantan United, Aylton Ferreira Ananias dalam aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV. -Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN Kelantan menumbangkan 'seteru satu naungan' Kelantan United FC 2-0 pada aksi Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin dianggap permulaan yang baik buat Team Red Warriors (TRW) musim ini.

Bagaimanapun, Pengurus Kelantan, Datuk Wan Rakemi Wan Zahari mengingatkan barisan pemain kendalian Yusri Che Lah itu supaya tidak 'mabuk' dengan kemenangan yang dicapai.

"Perjalanan kami masih jauh, selepas ini kita akan bertemu pendahulu Liga Premier, Terengganu FC II di tempat lawan. Jadi kami perlu terus kekal fokus sekiranya mahu melangkah lebih jauh dalam saingan musim ini," katanya.

Pada pertembungan 'adik-beradik' itu, Kelantan membuka tirai jaringan pada minit ke-34 menerusi Lazarus Kaimbi sebelum Odili Felix 'membunuh' semangat juang Kelantan United apabila meledak gol kedua TRW tujuh minit sebelum perlawanan berakhir.

Wan Rakemi turut menghamburkan pujian kepada barisan pemain TRW yang memperagakan daya ketahanan mental yang tinggi sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

"Kita harus akui berdepan Kelantan United bukan tugas mudah memandangkan pasukan itu sudah meraih dua kemenangan dalam aksi terdahulu. Walaupun kita bermula agak perlahan pada peringkat awal tetapi para pemain berjaya menyerap tekanan.

"Akhirnya kita berjaya meraih kemenangan. Saya ucapkan terima kasih kepada para pemain dan barisan jurulatih atas aksi yang diperagakan. Begitu juga dengan 'perwira 12' yang tidak putus-putus memberikan sokongan padu setiap kali Kelantan beraksi," ujarnya.

Sementara itu, Yusri menyifatkan kemenangan ke atas Kelantan United adalah satu kelegaan buat semua pihak selepas anak-anak buahnya gagal meraih tiga mata penuh dalam dua aksi terdahulu.

Artikel Berkaitan:

“Syukur kerana kemenangan yang dicapai. Terima kasih kepada pihak pengurusan yang terus menerus memberikan kepercayaan dan bantuan kepada saya untuk melakukan yang terbaik kepada pasukan Kelantan.

“Bagi pihak saya, terima kasih juga diucapkan kepada para pemain, mereka berjuang kerana kita tahu bukan mudah untuk bermain sesama pasukan setempat," jelasnya.