Uruskan hal rakyat, kurangkan berpolitik

Dari Menara KL

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Bangunan Perdana Putra. -Foto Bernama
A
A
A

ADA orang bertanya saya, kenapa tidak ada Timbalan Perdana Menteri? Sepatutnya itu ditanyakan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Agaknya belum ada calon yang sesuai untuk jawatan nombor dua terpenting itu. Kalau ada sesiapa yang mengidamkan jawatan itu, persiapkan diri sebaik mungkin.

Tetapi sekiranya saya jadi Perdana Menteri, saya pun sengaja tidak akan mengisi jawatan Timbalan Perdana Menteri. Jawatan itu tidak disebut pun dalam Perlembagaan.

Tidak ada timbalan pun Perdana Menteri masih boleh berfungsi dengan baik kerana dibantu oleh sekian banyak menteri kanan.

Lagi pula ada timbalan tidak semestinya memudahkan, sebaliknya mungkin menyusahkan, lebih-lebih lagi apabila si timbalan sibuk hendak menggantikan jawatan nombor satu.

Pengalaman pentadbiran lalu membuktikan betapa Perdana Menteri tidak dapat memfokuskan tugas sebenar apabila saban hari didesak melepaskan jawatan sebab ada yang tidak sabar-sabar hendak menjadi Perdana Menteri.

Melihat dari luar, Kabinet baharu Muhyiddin ini pada hemat saya, mantap dan berwibawa. Ini betul-betul Kabinet harapan rakyat.

Dibina daripada kayu cengal dan kayu jati, harap-harap ia akan terus utuh dan tidak mudah rapuh dimakan anai-anai.

Artikel Berkaitan:

Melihat senarai yang panjang – sesetengah menganggap ini Kabinet paling ramai – ia terdiri daripada kepelbagaian kepakaran.

Selain orang politik turut dimenterikan juga orang bukan politik – ada teknokrat yang memberangsangkan, ada ulama yang meyakinkan.

Bekas-bekas menteri yang berpengalaman dibawa semula dalam Kabinet, tidak syak lagi untuk memperkukuh mana-mana skru yang longgar.

Dalam Kabinet yang lepas kita melihat banyak yang baharu dan tidak berpengalaman, ternyata mereka gagal memenuhi harapan rakyat.

Kekurangan pengalaman menjadikan mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehendak kementerian, malah nampak sangat mereka tidak tahu apa yang mereka cakapkan.

Anggota Jemaah Menteri yang baru mengangkat sumpah – termasuk yang dilantik senator – sepatutnya belajar daripada beberapa kesilapan yang dilakukan oleh menteri dan timbalan menteri sebelum ini.

Antara kesilapan tersebut:

Pertama, jangan sombong dengan kedudukan. Sedarlah jawatan Kabinet adalah bersedia menjadi hamba rakyat, jangan sekali-sekali berasa sebagai tuan.

Kedua, baik menteri atau pegawai menteri jangan lepas laku dan menunjuk-nunjuk – umpamanya main golf dalam pejabat. Jangan megah pula mengambil gambar dan menularkan aksi-aksi yang lepas laku itu.

Pada era siber yang serba pantas ini apa tidak baik yang dilakukan akan segera disebarkan di maya. Menteri selalu diperhatikan – dan dinilai – setiap masa.

Ketiga, menteri kena berfikir sebelum bercakap. Apa yang dicakapkan mestilah munasabah dan boleh diterima rakyat.

Antara contoh merapu ialah bercakap dan mengulangi begitu yakin mengenai kereta terbang ketika rakyat dihimpit pelbagai kesulitan hidup seharian.

Keempat, jangan banyak berpolitik. Tumpukan sepenuh tenaga untuk melaksanakan janji-janji kepada rakyat.

Semua orang tahu – dan marah – sepanjang 22 bulan yang lalu menteri dan orang politik terlalu banyak berpolitik, cantas-mencantas untuk merebut kuasa.

Sama separti pun tidak sehaluan sebab masing-masing ada kepentingan diri – untuk menjadi Perdana Menteri.

Kerana berebut kuasa timbul macam-macam tikaman dari belakang, termasuk kontroversi semburit yang ternyata memecahkan parti.

Alkisah, akhirnya semua melepas tidak dapat jadi Perdana Menteri. Rakyat bertepuk tangan sambil bersorak, padan muka!

Akhir kalam, rakyat berasa yakin dengan barisan kabinet Muhyiddin. Semua menteri kena bekerja keras memenuhi harapan dan kepercayaan rakyat.

Semua kena membantu Kabinet baharu sehingga habis penggal. Jangan sibuk sangat hendak mengusulkan undi tidak percaya, atau undi percaya sekalipun.

Kalau sayangkan negara, sayangkan anak-cucu, berikan kerjasama kepada Muhyiddin dan pasukannya. Jangan asyik berseteru!