X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kabinet mahu langkah diambil bantu industri pelancongan

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia menjalani imbasan suhu terhadap para pelancong dari Satun, Thailand yang menggunakan perkhidmatan feri ke Langkawi di pintu masuk Jeti Penumpang Antarabangsa Kuah hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan diarah menyediakan kertas Kabinet berhubung langkah yang boleh diambil dalam membantu pemain industri pelancongan yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, arahan yang diputuskan semasa mesyuarat pertama Kabinet hari ini dibuat susulan peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Untuk itu, katanya kementerian akan mengadakan perjumpaan bersama semua pemain industri berkenaan dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas langkah yang boleh diambil oleh kerajaan bagi membantu mereka berdepan situasi tersebut.

"Satu penjelasan secara spesifik kesan Covid-19 kepada sektor pelancongan telah saya bentangkan kepada Jemaah Menteri pagi tadi yang menyaksikan kementerian diminta menyediakan kertas Kabinet berhubung perkara itu.

"Bagi tujuan itu, kita akan bertemu semua pemain industri bagi mendengar maklum balas serta saranan yang boleh diambil sebelum dibawa untuk makluman dan tindakan Jemaah Menteri," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet kementerian itu di sini hari ini.

Hadir sama, timbalannya Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Nancy berkata, arahan terbaru itu mungkin memerlukan beberapa mekanisme yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi menangani kesan daripada Covid-19 sebelum ini dilihat semula, antaranya memasukkan keperluan perbelanjaan untuk menaik taraf fasiliti tempat tumpuan pelancongan tertentu dalam negara.

Beliau berkata, kementerian tidak hanya melihat kepada aspek bantuan kewangan secara 'one-off' yang diberikan kepada pemain industri yang terjejas melalui pakej tersebut tetapi yang lebih utama langkah menaik taraf fasiliti pelancongan untuk merangsang kehadiran pelancong domestik.

"Sebenarnya kita telah hantar kepada Kementerian Kewangan berhubung mekanisme dan cara pelaksanaan bagaimana peruntukan daripada pakej tersebut boleh membantu pemain industri yang terjejas," katanya.

Nancy berkata, dalam berdepan kekurangan kemasukan pelancong akibat COVID-19, kementerian juga akan mewujudkan duta pelancongan dalam kalangan generasi muda dan memberikan latihan tertentu untuk membantu mereka mempromosikan pelancongan domestik.

Mengenai sama ada Malaysia mampu mencapai sasaran 30 juta kehadiran pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (VM2020), Nancy berkata, berdasarkan trend semasa sasaran itu sukar dicapai.

“Dalam hal ini kita kena realistik dan berdasarkan situasi peningkatan jangkitan Covid- 19 di seluruh dunia, kita tidak mungkin capai sasaran yang diletakkan,” katanya.- Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus