Kementerian Alam Sekitar teruskan dasar, inisiatif kerajaan terdahulu

Tuan Ibrahim (kiri) bersama timbalannya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mengadakan mesyuarat pasca Kabinet yang pertama bersama pengurusan tertinggi Kementerian Alam Sekitar hari ini.
Tuan Ibrahim (kiri) bersama timbalannya, Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad mengadakan mesyuarat pasca Kabinet yang pertama bersama pengurusan tertinggi Kementerian Alam Sekitar hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Alam Sekitar akan meneruskan dasar dan inisiatif baik berkaitan alam sekitar yang diperkenalkan kerajaan terdahulu serta menyemak semula dasar yang memerlukan penambahbaikan, kata Menterinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam sidang akhbar pertama sebagai Menteri Alam Sekitar, beliau berkata, antara yang akan diteruskan ialah Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030 yang dijangka dikuatkuasakan sepenuhnya pada 2022.

"Ketika ini, kita masih dalam fasa peralihan serta pendidikan pengguna dan kita perlukan masa kerana proses ini memerlukan kos, tetapi kita letak tempoh sehingga 2022 untuk kita kuatkuasakan," kata Tuan Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca Kabinet pertamanya di sini hari ini.

Beliau juga berkata, Dasar Alam Sekitar Negara (DASN) 2002 dan Dasar Perubahan Iklim 2009 akan disemak semula dan dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat memandangkan kedua-duanya sudah lama tidak disemak.

Tuan Ibrahim berkata, DASN 2002 perlu disemak semula kerana terdapat perkembangan baharu dalam isu berkaitan alam sekitar dan perubahan iklim.

"Usaha ini adalah bagi melengkapi dimensi alam sekitar yang terkandung dalam dasar kebangsaan dan akta lain dengan mengambil kira perjanjian antarabangsa berkaitan pengurusan alam sekitar," katanya.

Bagi Dasar Perubahan Iklim 2008, beliau berkata, kementerian akan mencadangkan strategi dan pelan dalam melaksanakan tindakan mitigasi serta adaptasi perubahan iklim di peringkat kebangsaan selaras dengan komitmen negara terhadap Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC) dan Perjanjian Paris yang diratifikasi pada 2016.

Tuan Ibrahim turut meletakkan usaha memelihara dan memulihara sumber air, terutama sungai, sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) beliau bagi tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Al-Quran menyebut sumber kehidupan ialah air, jadi fokus kita adalah untuk memastikan bahawa sumber kehidupan ini dapat dipelihara," katanya sambil menambah bahawa mesyuarat hari ini dimaklumkan mengenai pengaktifan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan bagi menghadapi cuaca kering yang dijangka berlarutan sehingga pertengahan bulan April ini.

Mengulas jabatan dan agensi yang akan bernaung di bawah kementerian itu, beliau berkata, perkara tersebut telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet hari ini dan ia bakal diumumkan dalam masa terdekat, namun gambaran yang diberikan menunjukkan mungkin jumlahnya antara 14 hingga 15.- Bernama