DAP tak pernah cakap saya calon Menteri Besar: Abdul Aziz

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari
A
A
A

IPOH - Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan pimpinan parti itu tidak pernah memaklumkan kepadanya bahawa beliau bakal dilantik sebagai Menteri Besar Perak untuk menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini.

Menurutnya, perkara itu tidak pernah dibincangkan sepanjang bersama pimpinan parti sama ada dalam mesyuarat di peringkat Pusat mahupun negeri.

"Seingat saya tak pernah mana-mana pemimpin DAP minta saya bersiap menjadi Menteri Besar, tak pernah disebut pun untuk letakkan (seorang calon) atau menuntut kerusi itu...tidak ada.

“Kalau perkara itu hendak dilakukan pun, ia mesti melalui sesuatu atau seseorang yang ada akses kepada pihak Istana dan baginda Tuanku (Sultan Perak), tetapi saya dan DAP memang tidak ada akses itu, macam mana kita boleh jatuhkan seorang Menteri Besar?" katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi itu berkata, mereka secara tegas telah diarahkan oleh Setiausaha Agung parti, Lim Guan Eng untuk mencari jalan sebaiknya bekerjasama dengan Ahmad Faizal meskipun ada ketikanya tidak bersetuju dengan keputusan dilakukan pemimpin itu.

"Saya pernah dipanggil oleh Lim Kit Siang (Penasihat DAP) mengatakan kali ini kita tak menuntut kerusi Menteri Besar, jadi saya tak tahu bagaimana perkara ini boleh timbul.

"Selalunya untuk lantik Menteri Besar, kita tahu identiti pemimpin itu, tetapi sekarang individu itu pun tidak tahu," katanya merujuk kepada dirinya sendiri.

Semalam, dua bekas pemimpin DAP Perak iaitu ADUN Buntong, A Sivasubramaniam dan ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong mengesahkan rancangan untuk jatuhkan Menteri Besar dan gulingkan kerajaan sudah lama dibincangkan dalam Jawatankuasa DAP Perak.

Artikel Berkaitan:

Rancangan itu didakwa diatur bagi memberi laluan lantikan Menteri Besar baharu kalangan wakil rakyat Melayu DAP sendiri.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata, kenyataan seumpama itu secara tidak langsung boleh menjejaskan reputasi parti.

"Mengapa mesti mengada-ngadakan sesuatu yang tidak ada.

"Dulu pun ketika dalam Sidang Dewan, ada yang mengatakan saya bekerja keras untuk jatuhkan Menteri Besar, tetapi saya tak terasa apa pun kerana saya tak buat dan sehingga krisis sekarang, perkara itu tetap tidak berlaku," katanya.

Beliau bagaimanapun tidak berhasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap dua ADUN berkenaan, sebaliknya menyerahkan kepada pimpinan parti untuk tindakan sewajarnya.

"Saya tidak pasti mengapa mereka lari dan menyebutkan hal itu, jika tidak berpuas hati dengan kepimpinan, kita ada mekanisme untuk menilai dan menghukum mereka, satu daripadanya melalui pemilihan parti," katanya.