Program masih berjalan, Kabinet tentukan hala tuju baharu TMM 2020

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusod dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon menunjukkan dokumen yang ditandatangani pada Majlis Perjanjian Kolaborasi Tourism Malaysia dan Visa Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Hotel Grand Hyatt hari ini.
Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusod dan Pengurus Negara Visa Malaysia, Ng Kong Boon menunjukkan dokumen yang ditandatangani pada Majlis Perjanjian Kolaborasi Tourism Malaysia dan Visa Malaysia sempena Tahun Melawat Malaysia 2020 di Hotel Grand Hyatt hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua program dan acara yang dirancang sempena promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020 masih diteruskan bagi mencapai sasaran 30 juta pelancong antarabangsa ke negara ini meskipun dalam situasi penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, sebarang perubahan terhadap hala tuju TMM 2020 bergantung kepada keputusan Kabinet berdasarkan situasi Covid-19 dari semasa ke semasa.

"Sasaran bagi TMM 2020 masih dikekalkan iaitu kita tetapkan 30 juta pelancong untuk mendapat RM100 bilion dari segi pendapatan.

"Walaupun Pertubuhan Pelancongan Dunia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNWTO) menyebut masih terlalu awal untuk menilai semula sasaran itu, ia (sasaran) masih kekal.

"Kita akan lihat apa perkembangan dan sebagainya, kemudian kita akan buat keputusan berkenaan (perubahan sasaran) sebab ini adalah perkara dasar yang akan diputuskan oleh kabinet ataupun menteri sendiri," katanya di sini hari ini.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Menandatangani Kerjasama Jangka Panjang antara Tourism Malaysia dengan Visa Malaysia.

Musa berkata, meskipun rangka promosi dan acara TMM 2020 masih berjalan, ia sama sekali tidak melibatkan negara-negara berisiko.

"Wakil pelancongan kita masih bergerak tetapi negara yang 'lock down' kita tak pergi. Kita laksanakan aktiviti seperti mana yang kita cadangkan bergantung kepada penganjur di sana (negara terlibat).

Artikel Berkaitan:

"Namun jika ada penangguhan saat-saat akhir oleh penganjur dan sebagainya, kita akan berunding terus dengan pihak yang boleh membuat keputusan. Contohnya jika wakil kita sudah ada di sana," katanya.

Dalam pada itu ditanya tentang ketibaan pelancong yang ingin mendapatkan rawatan berhubung industri kesihatan di Malaysia, beliau berkata, sehingga kini ia tidak terjejas.

"Perubatan adalah perkara penting. Mereka yang datang kebanyakan dari Indonesia dan sekitarnya. Ada juga pasaran dari China tapi tidak besar. Lain-lain dari Medan dan sebagainya jadi tiada masalah. Malah kita masih laksanakan rangka promosi," katanya.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Visa Malaysia, Musa berkata, kerjasama itu bakal memberi kelebihan buat Malaysia dalam usaha menggalakkan kedatangan pelancong luar dan domestik sekaligus memacu segmen beli belah.

"Kita melihat Visa Malaysia sebagai rakan strategik yang kita boleh bekerjasama kerana mereka ada di lebih dari 200 negara dengan 3 bilion kad seluruh dunia.

"Daripada segi ini kita perlukan dari segi data kerana teknologi dah berubah, kita nak dapatkan maklumat perbelanjaan sebelum mereka (pelancong) datang..dengan itu kita boleh susun program dengan lebih teratur dan sempurna dan boleh sampaikan kepada pemain industri," katanya.