Jawatan diterima ahli Parlimen kem Azmin bukan habuan: Zuraida

Zuraida tiba di Pejabat KPKT bersalaman dengan kakitangan dan pegawai yang menunggunya di lobi bangunan.
Zuraida tiba di Pejabat KPKT bersalaman dengan kakitangan dan pegawai yang menunggunya di lobi bangunan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) menepis dakwaan bahawa ahli Parlimen dari kem bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali seolah-olah mendapat habuan apabila hampir kesemuanya diberikan jawatan dalam Kabinet.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang juga bekas Naib Presiden PKR berkata, jawatan diterima mereka bukanlah habuan, sebaliknya diberikan mengikut kesesuaian.

“Bukan isu habuan. Dalam komponen itu adalah komponen Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Jadi bila komponen Bersatu menjadi satu daripada komponen yang terbesar, jadi diberikan mengikut kesesuaian sebenarnya.

"Tak ada isu itu (habuan). Yang lain itu ramai, yang ini (bekas PKR) hanya 10 (orang). Jadi (jumlah) dia sikit, mudahlah untuk dihabiskan (diberikan jawatan bersesuaian),” katanya.

Zuraida berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Ketibaan Menteri dan Timbalan Menteri Baru di Pejabat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini hari ini.

Terdahulu, sembilan daripada 10 ahli Parlimen daripada kem Mohamed Azmin yang menyokong pembentukan kerajaan baharu mendapat jawatan dalam Kabinet sama ada sebagai menteri atau timbalan.

Artikel Berkaitan: